KOTA KINABALU – Dua nama besar dari Indonesia iaitu kumpulan muzik terkenal, Kotak dan penyanyi berbakat, Marcello Tahitoe (Ello) bakal mengegarkan di ITCC Penampang pada 14 Jun depan.
Penganjur NS Show Connects Sdn Berhad, Alfian Basir berkata pelaksanaan Konsert 2 Dekade sempena memperingati ulang tahun ke-20 penglibatan mereka berdua dalam industri muzik.
“Konsert ini adalah konsert khas yang menampilkan dua artis terkemuka dari Indonesia serta untuk menyambut ulang tahun ke-20 penglibatan Kotak dan Ello dalam industri muzik.
“Malaysia, khususnya Sabah telah dipilih sebagai satu-satunya destinasi konsert di luar Indonesia untuk acara istimewa ini dan Kota Kinabalu diberi penghormatan untuk menganjurkan konsert tersebut,” katanya dalam kenyataan media pada Selasa.

Menurut ahli kumpulan Kotak, Tantri, mereka menyambut baik penganjuran konsert yang menggabungkannya dengan penyanyi sangat berbakat, Ello.
“Tidak sabar untuk bertemu mata dengan para peminat di dan kami menyambut baik penganjuran konsert yang menggabungkan kami dan Ello dalam satu pentas,” katanya.
Mengulas tentang latar belakang, kumpulan Kotak yang terdiri daripada tiga pemuzik berbakat iaitu Tantri, Chua dan Cella terus mengekalkan kedudukan mereka dalam industri muzik selama lebih 20 tahun.
Sepanjang tempoh itu, Kotak telah menghasilkan banyak album yang mendapat sambutan hangat dan berjaya merangkul pelbagai anugerah muzik, bukan sahaja di Indonesia, malah turut diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Begitu juga dengan Ello, juga tidak kurang hebatnya yang beliau telah menghasilkan beberapa album dalam tempoh 20 tahun yang lepas dan menerima pelbagai penghargaan Anugerah Muzik Indonesia sepanjang perjalanan kariernya.
Kini, Ello turut dikenali sebagai salah seorang penyanyi utama bagi kumpulan rock legenda Indonesia, Dewa 19, sekali gus membuktikan keampuhan bakat dan popularitinya dalam dunia muzik tanah air.
Justeru itu, orang ramai boleh mula membeli tiket pada 11 April ini di laman web Ticket2U (www.ticket2u.com.my).
Terdapat pelbagai kategori ditawarkan, antaranya;
-VIP A – Masih Ada (Tempat Duduk Bernombor): RM289
-VIP B – Semangat Baru (Tempat Duduk Bernombor): RM289
-ROCK ZONE – Beraksi (Berdiri): RM189
-GENERAL STANDING – Masih Cinta (Berdiri): RM139
-VIP Meet & Greet (tambahan dengan pembelian tiket): RM99






