PUTRAJAYA – Langkah Malaysia menawarkan diri sebagai pemudah cara bagi menyelesaikan konflik sempadan antara Thailand dan Kemboja disifatkan sebagai tindakan diplomatik yang berani serta mencerminkan kepimpinan serantau yang matang dan proaktif.
Pemerhati geopolitik dan keselamatan Universiti Utara Malaysia (UUM), Nur Ashikin Yusof berkata, konflik yang tercetus susulan penarikan balik sokongan Thailand terhadap genjatan senjata itu merupakan ujian besar terhadap ketegasan ASEAN dalam menangani konflik dalaman melibatkan negara anggotanya.
Menurutnya, Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN telah menunjukkan kematangan diplomatik yang signifikan dengan menawarkan diri sebagai pemudah cara dialog antara Thailand dan Kemboja.
“Cadangan Malaysia untuk mengaktifkan mekanisme sedia ada seperti ASEAN High Council serta melibatkan badan seperti ASEAN Institute for Peace and Reconciliation (AIPR) mempamerkan keupayaan kepimpinan serantau yang lebih proaktif, selain mencerminkan hasrat negara untuk memperkukuh norma keselamatan serantau yang lebih dinamik dan bertanggungjawab.
“ASEAN secara tradisi berpegang kepada prinsip tidak campur tangan. Namun dalam konteks konflik sempadan yang berisiko menjejaskan keselamatan dan kestabilan rantau ini, ASEAN perlu melangkah lebih jauh daripada sekadar menyeru damai.
“Ketegangan seperti ini mampu mencetuskan kesan rentas sempadan, termasuk pelarian, peningkatan ketenteraan dan gangguan terhadap aktiviti ekonomi di kawasan sempadan,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP), pada Isnin.
Dalam pada itu, Nur Ashikin berkata, peranan aktif Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menyuarakan keperluan genjatan senjata yang berkekalan dan penyelesaian diplomatik turut memperlihatkan kesungguhan Malaysia untuk tidak sekadar menjadi pemerhati.

“Komitmen Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk melihat ASEAN lebih responsif terhadap konflik dalaman adalah petanda penting bahawa Malaysia serius mahu mengangkat nilai keamanan sebagai tiang utama kerjasama serantau.
“Inisiatif ini juga mengangkat imej Malaysia sebagai negara yang bukan sahaja menghormati kedaulatan jiran, tetapi juga sanggup memimpin dalam suasana krisis,” katanya.
Sementara itu, Nur Ashikin berpandangan, terdapat keperluan untuk menubuhkan pasukan pemantau ASEAN di kawasan sengketa sempadan bagi memastikan tiada pencabulan unilateral dan membina keyakinan antara kedua-dua pihak.
Pada masa sama, beliau berkata, pelan tindakan ASEAN bagi penyelesaian konflik dua hala perlu diwujudkan merangkumi garis masa, fasa rundingan, serta penglibatan pihak ketiga yang neutral.
“Perlunya menginstitusikan diplomasi pencegahan sebagai norma tetap ASEAN, yang tidak menafikan kedaulatan tetapi bertujuan melindungi kepentingan kolektif rantau selain menggalakkan dialog masyarakat sivil rentas sempadan (Track II diplomacy) untuk meredakan ketegangan di peringkat akar umbi, termasuk penglibatan komuniti, media dan pemimpin tempatan.
“Malaysia kini berada pada posisi strategik untuk mendorong reformasi tersebut, selaras dengan aspirasi ASEAN sebagai komuniti politik dan keselamatan yang matang serta memiliki kekuatan untuk berdaya tindak. Keberanian Malaysia untuk mendahului langkah damai ini wajar dipuji dan dijadikan teladan oleh semua pihak,” katanya.








