BANGKOK – Perbalahan bersenjata antara Thailand dan Kemboja di kawasan sempadan yang dipertikai sejak awal pagi semalam masih belum reda.
Ini kali kedua tentera kedua-dua negara bertempur – selepas saling menuduh satu sama lain – melepaskan tembakan terlebih dahulu susulan ketegangan yang memuncak sejak beberapa minggu lalu.
Dalam satu kenyataan, tentera Thailand mendakwa pasukan Kemboja melepaskan tembakan di kawasan berhampiran kuil Ta Moan Thom yang menjadi pertikaian.
Ia turut menyatakan bahawa Kemboja mengerahkan dron pengawasan sebelum menghantar tentera lengkap dengan senjata berat ke kawasan terbabit.
Jurucakap Kementerian Pertahanan Kemboja pula menafikan dakwaan itu dan menyatakan pertikaian berpunca daripada pencerobohan tanpa provokasi oleh tentera Thai, sekali gus memaksa pasukan mereka bertindak mempertahankan diri.
Ketegangan itu bermula selepas Thailand memanggil pulang dutanya di Kemboja pada Rabu dan mengumumkan akan mengusir duta Kemboja di Bangkok.
Ini susulan pertembungan kedua dalam tempoh seminggu yang menyaksikan seorang lagi askar Thai kehilangan anggota badan akibat terpijak periuk api di kawasan yang menjadi pertikaian.
Thailand mendakwa periuk api itu baru dipasang di kawasan berkenaan, namun tuduhan itu disifatkan sebagai ‘tidak berasas’ oleh Kemboja.
Difahamkan Kemboja masih mempunyai berjuta-juta periuk api yang ‘tertinggal’ sejak zaman perang saudara beberapa dekad lalu.









