
PUTRAJAYA – Konflik geopolitik yang berlaku di rantau Teluk ketika ini tidak menjejaskan operasi penerbangan domestik di negara ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, setakat ini tiada penerbangan dalam negara dibatalkan, malah syarikat penerbangan menambah kekerapan penerbangan sempena musim perayaan Hari Raya Aidilfitri.
“Tidak ada (penerbangan dibatalkan), malah hari raya kita tambah penerbangan. Yang dibatalkan itu hanya membabitkan kawasan yang ada risiko,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengumumkan garis panduan kenderaan de-controlled dan pick-up bagi tujuan membawa barangan di kementeriannya, di sini, hari ini.
Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli serta Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Malaysia, Datuk Seri Jana Santhiran Muniayan.
Mengulas lanjut, Loke berkata, kerajaan tidak mahu syarikat penerbangan menggantung atau membatalkan operasi penerbangan masing-masing kerana langkah itu boleh memberi kesan kepada aktiviti ekonomi.
Sehubungan itu, katanya, kementerian sedang mengadakan perbincangan dengan syarikat penerbangan bagi mengenal pasti pendekatan terbaik untuk mengurangkan kos operasi industri berkenaan.
“Saya ada mesyuarat dengan mereka kerana kerajaan mahu syarikat penerbangan ini terus beroperasi seperti biasa.
“Jadi, kementerian akan membentangkan cadangan kepada Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) bagi meneliti bentuk bantuan yang boleh dipertimbangkan kerajaan bagi mengurangkan tekanan kos ditanggung syarikat penerbangan,” katanya.
Pada masa sama, beliau mengakui konflik yang berlaku di Asia Barat turut memberi kesan kepada operasi syarikat penerbangan negara Teluk.
Katanya, kebanyakan syarikat penerbangan di rantau itu masih menggantung operasi penerbangan mereka kecuali bagi tujuan repatriasi.
“Syarikat penerbangan kita perlu mengambil langkah bagaimana menampung permintaan itu sebab jika dulu pergi ke Eropah, ramai menggunakan syarikat penerbangan negara Asia Barat.
“Kini di sana adalah zon perang, jadi penerbangan berkurangan manakala harga melambung.
“Ia membuka ruang untuk syarikat penerbangan (tempatan) menampung permintaan itu terutama ke Eropah. Contohnya Malaysia Airlines ada permintaan lebih tinggi ke London, Paris dan sebagainya kerana tidak ada lagi alternatif di Asia Barat ketika ini,” katanya.





