
LAHAD DATU – Kompleks Penjara Lahad Datu yang dilengkapi dengan kemudahan teknologi moden menjadikan ia mercu tanda di daerah ini khususnya dalam aspek pembangunan infrastruktur keselamatan komuniti.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, kecanggihan teknologi di penjara ini selaras dengan fungsinya sebagai Institusi Penjara kategori maksimum.
“Penjara Lahad Datu merupakan penjara baharu yang paling moden di Malaysia dengan dilengkapi dengan Sistem Keselamatan Elektronik Bersepadu (SKEB).
“Penjara ini bukan hanya satu perubahan fizikal daripada yang lama kepada yang lebih moden, tetapi juga menjadi lambang kemajuan dalam pembangunan keselamatan komuniti di Lahad Datu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Penjara Lahad Datu yang disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin di sini, pada Selasa.
Menurut Shamsul, Kompleks Penjara itu mampu menempatkan 1,500 prospek yang sekali gus menunjukkan bukti serta komitmen kerajaan untuk memastikan keselamatan dan ketenteraman awam dapat dipelihara.
“Penjara Lahad Datu juga dapat membantu mengurangkan isu kesesakan penjara yang dialami institusi penjara lain khususnya di Sabah seperti penjara pusat di Kota Kinabalu, Penjara Tawau, Penjara Sandakan dan pusat koreksional Labuan.
“Saya juga difahamkan bahawa kompleks ini diwartakan sebagai Pusat Pemulihan Akhlak Lahad Datu dan Pusat Pemulihan Khas Lahad Datu yang dijangka akan menempatkan tahanan dalam masa terdekat,” katanya.
Justeru beliau menyifatkan peranan penjara kini bukan sahaja sebagai agensi pelaksanaan hukuman semata-mata tetapi ditransformasikan kepada institusi pemulihan sebagai persediaan sebelum mereka kembali semula kepada masyarakat.
Kompleks penjara berkeluasan 38.59 ekar ini mula dibina pada 2017 dan siap sepenuhnya pada Mac 2023 dengan kos RM176 juta.
Sebagai rekod, Penjara Lahad Datu ini telah beroperasi sejak 3 Oktober 2023 yang menempatkan pelbagai prospek pelbagai kategori.