
SIBU – Peranan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) sebagai penghubung utama antara kerajaan dengan rakyat perlu dilaksanakan dengan penuh komitmen termasuk memastikan mereka sentiasa boleh dihubungi untuk membantu urusan masyarakat setempat.
Residen Bahagian Sibu, Abang Mohamad Porkan Abang Budiman berkata, kepemimpinan pada peringkat akar umbi menuntut kepekaan terhadap keperluan rakyat terutama dalam hal melibatkan pengesahan dokumen penting yang berkaitan dengan pendidikan dan kebajikan keluarga.
Beliau menegaskan kuasa yang diberikan kepada KMKK adalah satu amanah yang perlu digunakan secara berhemah, telus dan bertanggungjawab bagi memudahkan urusan penduduk, bukannya menimbulkan kesukaran.
“Jangan menyukarkan rakyat dalam urusan penting seperti mendapatkan tandatangan atau cop bagi tujuan rasmi. Kuasa yang ada sepatutnya digunakan untuk membantu bukannya menjadi penghalang kepada keperluan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Penyerahan Sijil Pelantikan dan Pelanjutan Tempoh KMKK bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Nangka yang diadakan di Pejabat Daerah Sibu pada Selasa.
Tambah beliau, KMKK perlu kekal profesional serta berkecuali daripada sebarang pengaruh politik agar keharmonian masyarakat dan pelaksanaan dasar kerajaan dapat berjalan lancar tanpa gangguan.

Majlis berkenaan menyaksikan penyerahan sijil kepada lima Ketua Masyarakat, 17 Tuai Rumah, empat Kapitan Cina dan empat Ketua Kampung termasuk dua lantikan baharu sejajar dengan aspirasi kerajaan Sarawak di bawah kepemimpinan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam memperkukuh pentadbiran serta memperjuangkan hak Sarawak menerusi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Foto: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS)







