
KABONG – Klinik Kesihatan Kabong menerima sumbangan peralatan kesihatan dan Geran Khas Kerajaan Sarawak menerusi satu majlis ringkas yang disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Datuk Mohd Chee Kadir pada Rabu.
Antara sumbangan yang disalurkan ialah alat penimbang bayi, lampu solar serta geran khas berjumlah RM10,000 kepada Panel Penasihat Klinik Kesihatan Kabong.
Datuk Mohd Chee berkata, program menyantuni pesakit luar seperti ini merupakan pendekatan mesra rakyat yang memberi peluang kepada pemimpin mendengar sendiri pandangan dan keperluan masyarakat setempat, khususnya dalam aspek penjagaan kesihatan.
“Kerajaan Sarawak komited untuk memastikan fasiliti kesihatan luar bandar terus diperkasa agar perkhidmatan yang diberikan kekal selamat, selesa dan berkualiti,” katanya.
Beliau turut meninjau kemudahan sedia ada di klinik tersebut dan meluluskan permohonan penyaman udara mudah alih serta lampu solar tambahan bagi beberapa bilik rawatan dan bilik sokongan demi keselesaan pesakit serta petugas kesihatan.
Menurutnya lagi, usaha ini adalah sebahagian daripada komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan klinik luar bandar terus berfungsi secara optimum dan responsif terhadap keperluan komuniti.
“Kita mahu Klinik Kabong terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” ujarnya.
Foto: FB Pusat Khidmat ADUN N.40 Kabong




