KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) memperluaskan aktiviti pemantauan makanan di hotel yang menyediakan bufet Ramadan, premis pembekal bahan mentah serta premis penyediaan ais bagi memastikan pihak terbabit mematuhi piawaian kebersihan dan keselamatan ditetapkan.
KKM menerusi satu kenyataan memaklumkan aktiviti itu tidak hanya pada bulan Ramadan, sebaliknya dijalankan sebelum ini yang meliputi pemeriksaan ke atas sumber bahan mentah, tempat penyediaan makanan dan peniaga dilesenkan oleh pihak berkuasa tempatan.
“Langkah ini diambil bagi memastikan kepatuhan terhadap standard keselamatan makanan ditetapkan, termasuk di semua bazar Ramadan.
“Kementerian sentiasa komited dalam memastikan keselamatan makanan sepanjang Ramadan melalui pemantauan dan penguatkuasaan berterusan,” menurut kenyataan itu.
KKM turut mengingatkan peniaga mengenai larangan penggunaan peralatan yang bukan bertujuan untuk penyimpanan atau penyediaan makanan.
Katanya, tindakan seperti menggunakan akuarium sebagai pengganti bekas air balang, tong sampah hitam untuk menyimpan bahan mentah atau peralatan lain yang tidak sesuai boleh menyebabkan pencemaran makanan serta meningkatkan risiko kesihatan kepada pengguna.
Sebagai langkah proaktif, KKM akan memperhebatkan kempen kesedaran melalui pendidikan kesihatan menggunakan pelbagai platform komunikasi termasuk media sosial, televisyen dan radio.



