PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) mempercepatkan pengisian lebih 4,000 perjawatan doktor kerajaan termasuk pegawai perubatan lantikan kontrak sebelum November ini.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu disuarakan Perdana Menteri dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikannya, pada Jumaat.
Jelasnya, gesaan tersebut dibuat oleh Perdana Menteri agar proses birokrasi yang mungkin menjadi kelewatan dipermudahkan.
“Perdana Menteri membangkitkan isu pengisian 4,000 perjawatan doktor yang belum lagi diisi dan ini disampaikan hari ini kepada anggota Jemaah Menteri khususnya Menteri Kesihatan.
“Perdana Menteri meminta supaya proses birokrasi yang mungkin dilihat sebagai melewatkan ini dipercepat,” katanya pada sidang media pasca mesyuarat Kabinet, di sini, hari ini.
Baru-baru ini, Perdana Menteri sebelum ini mengumumkan lebih 4,000 jawatan untuk doktor kerajaan termasuk pegawai perubatan lantikan kontrak, akan disediakan tahun ini.
Menerusi pengumuman khas yang disiarkan secara langsung di televisyen, Perdana Menteri menekankan keperluan mendesak terhadap doktor dalam sektor penjagaan kesihatan.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, KKM pada mulanya menyasarkan tempoh November depan untuk semua jawatan terbabit dapat diisi.
Namun jelas beliau, Perdana Menteri berpendapat, ia terlalu lama dan mahu supaya proses pengisian jawatan itu disegerakan
“Jika ikutkan Perdana Menteri, kalau boleh semalam sudah siap tetapi ada sedikit proses, cuma Perdana Menteri minta memandangkan ada keperluan yang mendesak untuk mengisi 4,000 kekosongan, bukan satu jumlah yang kecil, maka perlu dipercepat.
“Menteri Kesihatan (Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad) sudah memberikan komitmen bahawa proses ini akan diringkaskan tanpa menjejaskan dari segi prosedurnya dan akan dipercepat (pengisian jawatan),” katanya.








