
KUNAK – Program Pusat Komuniti Desa (PKD) Mobile Mini di kawasan jauh dari bandar atau pedalaman Sabah dan Sarawak akan dilaksanakan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
Timbalan Menterinya, Datuk Rubiah Wang berkata, PKD Mobile mini bakal dilaksanakan susulan peningkatan peruntukan PKD kepada RM5 juta pada tahun hadapan berbanding RM4 juta tahun ini.
“Dengan peningkatan itu, membolehkan PKD Mobile mini dapat dibuat sebab kita rasa ada lagi kawasan yang jauh iaitu penduduk luar bandar tidak dapat keluar tetapi kita datang santuni dengan bawa perkhidmatan diperlukan.
“Saya akan pastikan Seksyen Pembangunan Ekonomi Komuniti akan melaksanakan program ini,” katanya kepada media selepas merasmikan majlis PKD Mobile Sabah 2024 di Padang Pekan Kunak pada Sabtu.
Dalam pada itu, Rubiah berkata, perkhidmatan di 191 PKD di negara ini akan dipertingkat dari semasa ke semasa selaras sebagai pusat latihan, pusat pemerkasaan wanita, pusat pengumpulan produk termasuk menjadi pusat pendigitalan produk.
“KKDW turut menyediakan geran bantuan kepada usahawan luar bandar antaranya geran SPKLB bernilai RM5,000 dan melalui geran itu latihan, modal serta peralatan perniagaan diberikan sebagai membantu usahawan memastikan produk mereka dapati dinaik taraf,” jelasnya.
Program PKD Mobile di Kunak yang berlangsung selama dua hari bermula Sabtu merupakan siri terakhir pada tahun ini setelah dilaksanakan di Wilayah Persekutuan Labuan, Jerantut, Miri dan Tampin.
Inisiatif KKDW menerusi PKD Mobile itu dapat menyampaikan bantuan dan maklumat secara langsung kepada masyarakat melalui perkhidmatan bergerak pelbagai agensi kerajaan dan pihak swasta sekali gus mencapai Aspirasi Desa Makmur dengan lebih efisien dan efektif.







