KOTA KINABALU – Dapatan tinjauan Ipsos (Ipsos Populism Report 2025) menunjukkan keyakinan rakyat terhadap masa depan negara meningkat.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud berkata, hasil dapatan itu menunjukkan rakyat dapat merasai usaha reformasi institusi dan impak positif yang dibawakan Kerajaan MADANI.
“Kami menyambut baik dapatan tinjauan Ipsos (Ipsos Populism Report 2025) bahawa keyakinan rakyat terhadap masa depan negara terus meningkat.
“Dengan jumlah responden yang merasakan keadaan negara merosot menurun daripada 52% pada tahun 2023 kepada 40% pada tahun 2025, jumlah yang berada di bawah purata global iaitu 57%,” katanya dalam kenyataan media pada Khamis.
Jelasnya, indikator ini juga menunjukkan bahawa rakyat bertambah yakin dengan usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membuat lawatan rasmi dalam meningkatkan kerjasama pelbagai hala terutamanya menarik pelaburan ke tanah air.
“Sambutan dan penghormatan yang amat baik negara-negara luar dengan kepimpinan Perdana Menteri telah mengangkat Malaysia sebagai negara yang disegani,” tegasnya.
Mustapha yang juga Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi berkata, survei Merdeka Centre baru-baru ini turut mendedahkan penarafan kelulusan (approval rating) terhadap Perdana Menteri meningkat kepada 55% pada Mei 2025.
“Ia satu peningkatan ketara dari 43 peratus pada Jun 2024. Kelulusan terhadap Kerajaan Persekutuan juga naik kepada 50 peratus berbanding 40 peratus pada 2024,” ujarnya.
Beliau berkata bukti itu secara tidak langsung menangkis naratif ketidakpuasan terhadap Kerajaan MADANI dan meletakkan asas kestabilan politik sebagai keutamaan rakyat.
Sehubungan dengan itu, Mustapha berkata dapatan ini sekali gus mencerminkan ‘mood’ rakyat Sabah yang bakal menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi memberikan penilaian tetinggi kepada kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Ternyata kestabilan politik baik di peringkat Kerajaan Persekutuan dan Negeri kekal menjadi pilihan utama buat rakyat yang mahukan pembangunan dan kemakmuran.
“Rakyat mahukan kesinambungan, bukan perbalahan. Menjelang PRN Sabah 2025, apa yang rakyat mahukan adalah kestabilan dan Kerajaan MADANI semakin meyakinkan,” tambahnya.








