
PUTRAJAYA – Pelantikan Ketua Hakim Negara baharu, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh mencetuskan era baharu dalam sejarah institusi kehakiman apabila prosesnya berlangsung dengan telus serta disaksikan oleh masyarakat awam secara terbuka.
Bekas Peguam Kanan Persekutuan, Jabatan Peguam Negara, Liyana Marzuki berkata, perkara itu juga mempamerkan keterbukaan kerajaan dalam menerima teguran dan desakan awam, termasuk daripada badan peguam serta masyarakat sivil.
Beliau berpandangan, pengumuman rasmi oleh pihak Istana Negara dan Majlis Raja-Raja melambangkan satu pembaharuan penting yang membuktikan ketelusan semakin menjadi amalan dalam pelantikan badan kehakiman.
“Daripada saringan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) , pengesyoran Perdana Menteri, perbincangan Majlis Raja-Raja, sehinggalah perkenan Agong, semuanya berlangsung dalam radar rakyat.
“Dan yang lebih penting, pengumuman dibuat secara rasmi oleh Istana dan Majlis Raja-Raja. Bukan secara bocor. Bukan bisik-bisik tetapi diumumkan dengan penuh tertib. Dahulu, kita pernah dengar bagaimana pelantikan kehakiman dilakukan secara senyap. Tba-tiba keluar keluar sudah nama.
“Apa pun sebelum itu kita tak tahu mengenainya. Buktinya? Kita boleh baca dalam Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) kes VK Lingam, ia simpulkan Majlis Raja-Raja hanya menjadi pengesah lantikan bukan semak dan imbang sebenar tapi hanya menjadi ‘rubber stamp’,” katanya menerusi kenyataan kepada The Malaysia Press (TMP), pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Liyana berkata, pelantikan tersebut mempamerkan institusi kehakiman negara masih berfungsi secara bebas, walaupun berdepan persepsi serta tekanan daripada pelbagai sudut.
Katanya, sistem atau dasar semasa yang digunakan adalah terbukti lebih terbuka terhadap penilaian rakyat, di samping institusi seperti Majlis Raja-Raja memainkan peranan yang lebih aktif daripada hanya menjadi ‘pengendors rasmi’ semata-mata.
“Hari ini, keadaan berbeza. Jika benar wujud tekanan atau percubaan campur tangan sebelum ini, sudah jadi akademik.
Lantikan terkini menunjukkan institusi masih berfungsi. Semak dan imbang masih ‘alive and kicking’.
“Pada masa sama, suara rakyat, melalui saluran seperti Majlis Peguam dan badan sivil, masih memberi kesan tinggi serta paling penting, ia juga tunjukkan bahawa kerajaan ini, walau dikritik, masih boleh dibentuk dan ditegur bila rakyat bersuara. Itu salah satu ciri ‘lesser evil’ kepada negara,” katanya.

Sementara itu, Liyana memaklumkan, pelantikan Wan Ahmad Farid adalah langkah berani kerajaan memilih calon bukan pilihan, sekali gus mencerminkan komitmen terhadap pembaharuan badan kehakiman di samping menyuntik keyakinan baharu terhadap sistem saringan dan semak imbang sedia ada.
Jelasnya, walaupun terdapat kebimbangan terhadap latar belakang politik tokoh tersebut, ia adalah ujian sebenar terhadap kematangan institusi kehakiman.
“Pelantikan kali ini juga bukan nama-nama yang dijangka. Tiada penyambung tempoh. Tiada watak ‘favourite’. Ramai anggap ini pelantikan underdog. Perkara itu bukan perkara buruk. Dalam sistem yang sedang dipulihkan, kadang-kadang watak yang belum pernah didengar nama, adalah lebih selamat dari watak di pentas utama” katanya.
Sehubungan itu, Liyana menegaskan bahawa sistem perundangan negara kini sedang melalui proses pemulihan, dan mengharapkan agar masyarakat awam perlu terus memainkan peranan untuk memastikan institusi terbabit berada tidak menyimpang sehingga mewujudkan persepsi negatif.
“Ini yang kita mahu, bukan tokoh yang disucikan, tapi sistem yang diperbaiki.
Bukan keputusan yang menyenangkan semua orang, tapi proses yang boleh dipertahankan. Kita beri ruang dan peluang.
“Keadilan bukan bergantung kepada seorang personaliti namun keberanian rakyat untuk terus memastikan sistem berjalan atas landasan. Terus jalankan peranan kita sebagai rakyat yang bukan sekadar mengundi, tapi mengawasi dengan minda yang celik,” katanya.
Pada Khamis, Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh diumumkan sebagai Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan yang baharu, menggantikan penyandang terdahulu, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang telah bersara wajib.
Pelantikan beliau diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, selepas menerima nasihat Perdana Menteri dan hasil rundingan bersama Majlis Raja-Raja, menurut kenyataan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan.
Majlis angkat sumpah dan penyerahan watikah pelantikan akan diadakan pada 28 Julai di Istana Negara, di hadapan Sultan Ibrahim.







