KETUA Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pasir Mas, Wan Abd Hadi Hakimi Wan Mohd Nawi, mengecam tindakan Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari yang didakwa mempersenda usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menjadi perantara damai antara Thailand dan Kemboja.
Beliau menyifatkan kenyataan Fadhli sebagai tidak beradab dan memperlihatkan politik sempit ketika dunia menyaksikan kejayaan diplomatik Malaysia melalui rundingan bersejarah di Putrajaya semalam.
“Ketika nyawa menjadi taruhan dan dua negara jiran sedang bergolak di sempadan, Fadhli Shaari masih sempat menyindir serta memperlekehkan usaha Perdana Menteri yang berjaya mempertemukan delegasi Thailand dan Kemboja untuk menandatangani perjanjian gencatan senjata serta-merta,” katanya menerusi hantaran video di TikTok.
Jelas beliau, Perdana Menteri selaku Pengerusi ASEAN telah membuktikan kepimpinan berwibawa di peringkat serantau apabila berjaya meraih persetujuan damai antara dua negara yang sedang berkonflik.
“Ini bukan mesyuarat biasa. Ini mesyuarat khas berprofil tinggi yang disaksikan dunia, termasuk kuasa-kuasa besar Barat. Ia membuktikan kehebatan diplomatik Perdana Menteri yang mampu meyakinkan kedua-dua pihak bertelagah untuk duduk semeja di tanah air kita,” katanya.
Wan Abd Hadi turut menyelar tindakan Fadhli yang didakwa mengeluarkan kenyataan sinis terhadap hakim dan tokoh-tokoh kehakiman, menyifatkannya sebagai satu penghinaan terhadap institusi kehakiman negara.
“Rakyat Malaysia yang matang menilai. Jangan samakan semua orang dengan kelompok walaun. Politik benci membuta-tuli ini tidak mencerminkan akhlak Islam, malah memalukan,” ujarnya.
Beliau menyeru agar semua pihak, termasuk pembangkang, dapat mencontohi kematangan politik dan semangat perpaduan demi negara, lebih-lebih lagi apabila dunia sedang menyaksikan Malaysia sebagai pemegang amanah keamanan serantau.
“Kita wajar berbangga. Walaupun kita berlainan parti, usaha membawa keamanan serantau adalah usaha mulia yang harus disokong bersama. Jangan sampai rakyat hilang hormat kerana politik sempit,” tegasnya.
Rundingan damai antara Thailand dan Kemboja yang diadakan di Seri Perdana, Putrajaya, dan dimeterai pada Isnin menyaksikan Malaysia menjadi tuan rumah dan perantara utama dalam perjanjian gencatan senjata serta-merta yang disambut baik masyarakat antarabangsa.






