
PUTRAJAYA – Pengumuman Pengasas Meta, Mark Zuckerberg untuk memberhentikan penggunaan pemeriksa fakta bebas ‘fact checker’ di Amerika Syarikat tidak memberi kesan kepada Malaysia.
Menteri Komunikasi berkata, pemberhentian fungsi tersebut hanya melibatkan kandungan di Amerika Syarikat dan di antara pihak Meta dengan syarikat pemeriksa fakta bebas, PolitiFact.
“Setakat ini saya tidak melihat ia akan mendatangkan apa-apa kesan kepada pasaran di Malaysia, dia lebih kepada Amerika Syarikat. Jadi ini pertama adalah urusan antara dua pihak, pihak Meta dan juga syarikat ataupun entiti PolitiFact itu.
“Kedua, ia banyak melibatkan kandungan di AS. Pihak Meta setahu saya dan dalam pengetahuan MCMC juga, setakat hari ini, pihak Meta tidak mempunyai apa-apa hubungan seperti itu dengan mana-mana badan ataupun syarikat di Malaysia setakat ini.
”Tapi sejujurnya dalam perbincangan saya dengan pihak Meta sebelum ini mengenai konsep ‘community notes’ kerana kita tidak mempunyai badan seperti PolitiFact kalau di Amerika Syarikat mungkin itu satu cara yang agak baik dan positif,” katanya pada Sidang Media Pasca Mesyuarat Kabinet di sini, pada Rabu.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, seringkali apabila memuat naik kandungan di platform Facebook contohnya, lambakan komen tidak berkaitan mungkin akan menenggelamkan penilaian awam atau ‘community notes’ mengenai kandungan tersebut.
“Maklumat penjelasan yang diberikan termasuk oleh orang awam itu mungkin tenggelam dalam bahagian komen. Maka mungkin konsep ‘community notes’ ini adalah satu konsep yang ‘crowdsourced’, tapi kita lihat ada kebaikan dan kontranya.
“Setakat ini pihak Meta belum menghubungi saya, atau Timbalan Menteri ataupun MCMC untuk berikan penjelasan lebih, tapi insya-Allah kita akan berhubung dengan pihak Meta untuk mendapatkan maklumat tambahan,” ujarnya.
Fahmi turut menegaskan bahawa walaupun dengan ketiadaan fungsi ‘fact checker’, pengguna seharusnya mempunyai kecelikan digital dan kesedaran asas apabila melayari media sosial.
“Masalah yang kita lihat dari segi celik digital atau ‘digital literacy’, pengguna perlu ada tahap kesedaran asas mengenai kandungan yang mereka saksikan dan ini perlu ditanam ataupun dididik dari bangku sekolah lagi.
“Jadi saya lihat untuk mengharapkan platform semata-mata untuk melakukan segala usaha pengesahan fakta itu mungkin sukar dan dari segi teknikal, apa yang disebut oleh Mark Zuckerberg itu walaupun bagi setengah pihak mungkin merasakan ini adalah satu perkara yang negatif.
“..tapi saya rasa penting juga kita tingkatkan program kesedaran termasuk Celik Digital dalam kalangan para pengguna supaya secara umumnya bila kita berdepan dan menerima sebarang maklumat, kita perlu bertanya adakah maklumat ini sahih.
“Tetapi ini kerja yang sukar. Cuma saya harap rakan-rakan media juga dapat mainkan peranan untuk bantu membudayakan sikap, membuat pengesahan fakta, maklumat dan sebagainya,” tambahnya.
Terdahulu, Meta membuat pengumuman untuk menghentikan penggunaan pemeriksa fakta bebas atau ‘fact checker’ di Facebook dan Instagram, dan menggantikannya dengan sistem ‘community notes’ seperti platform X, di mana pengguna sendiri boleh memberi komen tentang ketepatan hantaran.
Dalam video pengumuman tersebut, Mark Zuckerberg berkata, moderator pihak ketiga terlalu seakan-akan berat sebelah ke arah politik dan sudah tiba masanya untuk kembali kepada asas kebebasan bersuara.