
SANDAKAN – Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor menegaskan hanya kestabilan politik, bersatu hati dan perpaduan yang utuh merupakan elemen penting dalam memastikan pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat.
Beliau berkata, lebih banyak pembangunan termasuk meningkatkan ekonomi demi kesejahteraan rakyat dapat dilaksanakan sekiranya rakyat bersatu hati.
“Kerajaan Negeri hari ini mempunyai banyak perancangan untuk meningkatkan ekonomi khususnya menerusi tiga teras utama Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
“Malah, lebih banyak inisiatif akan dilaksanakan kerajaan pada tahun ini demi pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat kerana perjuangan membantu rakyat belum selesai.
“Saya mahu rakyat di negeri ini termasuk di Sandakan akan terus memberi kepercayaan kepada kerajaan GRS-PH Plus dalam pilihan raya akan datang agar perjuangan kita membangunkan negeri ini akan dapat diteruskan,” katanya sempena Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2025 peringkat daerah Sandakan di Dewan Yu Yuan, di sini, pada Rabu.
Hajiji berkata, pencapaian dalam ekonomi khususnya kutipan hasil terus meningkat setiap tahun daripada RM4 bilion kepada hampir RM7 bilion pada tahun lalu.
“Saya percaya dalam masa dua hingga tiga tahun akan datang, jika GRS-PH Plus diberi mandat, kutipan hasil akan mencapai hingga lebih RM8 bilion.
“Oleh itu, saya berharap rakyat agar tidak mendengar atau mudah terpengaruh dengan cerita-cerita fitnah serta bohong pembangkang melalui media sosial kepada kerajaan.
“Kita akan teruskan pencapaian baik ini khususnya dalam pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat. Kerajaan negeri juga akan terus bekerjasama dengan Persekutuan untuk memastikan lebih banyak pembangunan dibawa ke negeri ini,” katanya.
Hajiji berkata, seiring dengan peranan besar masyarakat Tionghoa dalam pembangunan ekonomi negeri ini, beliau berharap masyarakat ini akan terus bersama-sama membantu kerajaan membangunkan ekonomi negeri ini.
“Saya juga ingin memberi jaminan bahawa kerajaan negeri hari ini sentiasa berlaku adil kepada semua rakyat tanpa mengira keturunan dan kepercayaan mereka.
“Ini yang kita terus lakukan dan saya berharap rakyat di Sandakan akan terus memberi sokongan kepada wakil-wakil rakyat di daerah ini,” katanya.
Mengenai masalah air di Sandakan, Hajiji akan meminta Pengarah Jabatan Air negeri Sabah untuk menyelesaikan masalah bekalan air di daerah ini.
“Kalau kita lihat, air yang disalurkan oleh pihak Jentama dan sebagainya cukup sementara kita menunggu Empangan Ulu Padas di Tenom yang akan mengeluarkan air 6,000 juta liter sehari untuk 80 hingga 100 tahun akan datang.
“Saya mahu tahu lebih lanjut apa masalah sebenarnya dan saya tidak mahu ada unsur-unsur sabotaj dalam pengurusan air di negeri ini, termasuk di Sandakan.
“Kalau ada, sebagai ketua menteri saya akan ambil tindakan kepada mereka ini,” katanya.
Turut hadir Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan dan Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam; Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, Datuk Phoong Jin Zhe; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Papat, Datuk Poon Ming Fung@Frankie; Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karamunting, Datuk George Hiew Vun Zin.




