Kes Muhyiddin bawah Akta Hasutan didengar 3 November

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 3 November depan bagi mendengar perbicaraan kes Tan Sri Muhyiddin Yassin yang didakwa mengeluarkan kenyataan menghasut menyentuh Yang di-Pertuan Agong (YDPA).

Kenyataan menghasut itu berkenaan dakwaan beliau tidak dijemput oleh Seri Paduka selepas Pilihan Raya Umum ke-15 untuk mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri, walaupun dikatakan mempunyai sokongan 115 daripada 222 Ahli Parlimen pada masa itu.

Hakim Datuk Aslam Zainuddin menetapkan perbicaraan didengar selama enam hari iaitu pada 3, 4, 5, 11, 12, dan 13 November.

Pada prosiding itu, peguam Datuk Amer Hamzah Arshad memaklumkan, pasukan pembelaan memohon tarikh perbicaraan selepas September ini bagi membolehkan kes Jana Wibawa melibatkan bekas Perdana Menteri di mahkamah berlainan, didengar terlebih dahulu.

Menurut beliau, perbicaraan kes tersebut kini berlangsung di hadapan Hakim Noor Ruwena Md. Nurdin dan dijadual selesai selepas September.

“Kami bersedia, sebanyak 115 akuan bersumpah telah diberikan kepada pihak siasatan. Mohon pendakwaan menyerahkan senarai saksi dan pernyataan bertulis untuk kegunaan perbicaraan kelak,” ujarnya.

Pada prosiding itu, pihak pendakwaan diwakili Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya Saiful Hazmi Mohd. Saad dan Nadia Mohd. Izhar.

Sementara itu, bekas Perdana Menteri turut menghadiri prosiding di hadapan Hakim Noor Ruwena berkaitan empat pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan berjumlah RM225.3 juta berkaitan projek Jana Wibawa.

Dalam pada itu, Amer Hamzah memaklumkan, Presiden Bersatu itu sebelum ini memohon empat persoalan perlembagaan berkaitan pertuduhan di bawah Akta Hasutan, diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan.

Bagaimanapun, Mahkamah Persekutuan pada 9 Februari lalu memutuskan, rujukan persoalan perlembagaan itu boleh dijawab dan diputuskan oleh Mahkamah Tinggi.

Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais berkata, mereka berpendirian untuk tidak menjawab keempat-empat persoalan tersebut pada peringkat itu.

“Panel menghantar semula rujukan perlembagaan ke Mahkamah Tinggi. Sebarang isu berbangkit boleh dikemukakan di hadapan hakim berkenaan,” katanya.

Pada 28 Ogos tahun lalu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Muhammad Jamil Hussin membenarkan permohonan Muhyiddin merujuk empat persoalan undang-undang itu selepas mendapati ia mempunyai kaitan langsung dengan perkara yang dipertikaikan.

Pada 4 Februari 2025, Muhyiddin, 78, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyebut perkataan menghasut semasa kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri di Dewan Semai Bakti Felda Perasu, antara 10.30 malam hingga 11.50 malam, 14 Ogos 2024.

Beliau didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 4 (1) (b) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 4 (1) akta sama, membawa hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

Kes itu pada asalnya disebut di Mahkamah Sesyen Gua Musang, Kelantan pada 27 Ogos 2024, sebelum dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Related Posts

Krisis tenaga: Mahkamah Syariah disyor guna prosiding secara dalam talian

PUTRAJAYA – Mahkamah Syariah diseru mengambil inisiatif bagi menjalankan prosiding sebutan kes secara dalam talian yang membabitkan penglibatan masyarakat awam dan Peguam Syarie yang berurusan di Mahkamah Syariah. Bagaimanapun, Presiden,…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Pelaksanaan BDR tunjuk kesan positif hari pertama

PUTRAJAYA – Pelaksanaan hari pertama dasar Bekerja Dari Rumah (BDR) dalam kalangan penjawat awam, pada Rabu mempamerkan kesan positif apabila aliran trafik di pusat pentadbiran kerajaan itu dilihat lebih terkawal…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Bantuan MADANI bukan sekadar subsidi, ia pemangkin inovasi dan kelestarian pertanian – Dr Norhelmi

Bantuan MADANI bukan sekadar subsidi, ia pemangkin inovasi dan kelestarian pertanian – Dr Norhelmi

Islam menuntut keadilan bukan retorik politik

Islam menuntut keadilan bukan retorik politik

CATS FM santuni golongan istimewa, erat silaturahim menerusi Ohsem Raya

CATS FM santuni golongan istimewa, erat silaturahim menerusi Ohsem Raya

Disyaki minta, terima RM500,000: Tiga penjawat awam agensi penguat kuasa direman

Disyaki minta, terima RM500,000: Tiga penjawat awam agensi penguat kuasa direman

Isu gangguan kutipan sampah dijangka selesai seminggu, MPKK gerak tindakan segera

Isu gangguan kutipan sampah dijangka selesai seminggu, MPKK gerak tindakan segera

Guru wanita maut, kereta bertembung lori

Guru wanita maut, kereta bertembung lori