
RANAU – PDRM tidak menolak kemungkinan dua lagi bahagian anggota badan mangsa kes bunuh di Indah Permai, Sepanggar telah dilarikan anjing atau bercampur dalam timbunan sampah.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata,namun sehingga kini belum ditemukan petunjuk baharu bagi mengesan dua bahagian anggota badan tersebut.
“Kita belum dapat menemui petunjuk untuk mendapatkan dua anggota berkenaan jadi kita percaya bahawa kemungkinan besar bahagian yang belum dijumpai itu telah dibawa oleh anjing, binatang liar ataupun telah tercampur dalam sampah.
“Usaha mengesan dua lagi anggota bahagian badan si mati ini masih diteruskan tapi sehingga kini kita belum dapat menemui petunjuk,” katanya semasa sidang media selepas menghadiri Majlis berbuka puasa bersama Timbalan Ketua Menteri, Datuk Masidi Manjun di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau, pada Sabtu.
‘’Siasatan kes berkenaan kini berada dalam peringkat akhir untuk diserahkan kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya (DPP).
“Kita telah membuat beberapa tangkapan dan kebanyakannya adalah keluarga kepada suspek utama bagi membantu siasatan,” jelasnya.
Terdahulu, pada 12 Februari 2026 penduduk Taman Indah Permai, Sepanggar, digemparkan dengan penemuan beberapa anggota badan seorang wanita yang dikerat dalam bungkusan di tong sampah taman berkenaan.





