
GEORGE TOWN – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa universiti awam untuk memberi ruang secukupnya kepada pihak industri untuk bersama-sama dalam meneroka disiplin ilmu baharu melibatkan industri berteknologi tinggi khususnya di wilayah utara.
Anwar berkata, kerjasama antara kedua-dua pihak universiti dan industri swasta penting bagi membangunkan industri semikonduktor serta ekosistem berkaitan, selaras dengan kedudukan Pulau Pinang sebagai hab semikonduktor di rantau ini.
Jelasnya, sinergi itu juga penting bagi memenuhi keperluan mendesak negara keatas jurutera berkelayakan yang mencukupi dalam industri berteknologi tinggi, termasuk industri reka bentuk litar bersepadu (IC).
“Universiti harus memberi ruang sewajarnya kepada industri untuk terlibat dengan lebih agresif. Kita buat penyesuaian dari semasa ke semasa, tetapi cara terbaik untuk mendidik, melatih dan meningkatkan serta memperbaharui kemahiran adalah dengan memastikan sinergi, kerjasama antara industri dengan institusi pendidikan.
“Penting bagi misi pendidikan memastikan hal ini berlaku dengan pantas dan bersedia untuk membuat penyesuaian,” katanya pada Majlis Perasmian Penang Silicon Design @5km+ di Bayan Lepas pada Sabtu.









