
KAPIT – Agensi Pembangunan Koridor Wilayah (Recoda) bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) baru-baru ini menganjurkan perbincangan untuk program Sarawak Rehab Hub: MYHOeME for Healthy Aging di Kapit.
Program ini bertujuan mempromosikan penuaan sihat melalui pendekatan berasaskan komuniti yang mengintegrasikan senaman fizikal, kognitif, dan sosial ke dalam aktiviti penjagaan kesihatan pencegahan.
Ia berusaha meningkatkan kesejahteraan warga emas secara menyeluruh serta memberi kuasa kepada mereka untuk hidup berdikari.
Pada awalnya, program MYHOeME dijadualkan berlangsung selama lima hari iaitu 25 November hingga 29 November ini.
Bagaimanapun, gangguan akibat banjir yang tidak diduga menyebabkan program ini hanya dapat dilaksanakan selama dua hari pertama.
Aktiviti selebihnya, termasuk majlis penutup, diubah menjadi sesi perbincangan yang diadakan di Pejabat Daerah Kapit.
Sesi ini menilai hasil daripada dua hari pertama, mengumpulkan maklum balas berharga daripada peserta, serta merangka rancangan untuk melanjutkan program ini tahun hadapan dengan inisiatif dan perancangan yang lebih baik.
Setiausaha Politik Menteri Kerja Raya dan wakil Pengerusi URDA, Ambrose Abong Bugek dijadualkan melancarkan program ini di Rh. Dennis ak Langok, Sg Amang, Kapit pada 29 November ini.
“Inisiatif ini mencerminkan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Sarawak dalam memperkasa warga emas serta meningkatkan kesejahteraan komuniti,” ujar beliau.
Program MYHOeME selaras dengan keutamaan nasional dan antarabangsa, termasuk Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) terutama SDG 3 (Kesihatan Baik dan Kesejahteraan).
Selain itu, ujar beliau, program ini mendapat sambutan baik daripada komuniti setempat.
“Saya yakin ia akan memberi kesan yang berkekalan kepada kehidupan mereka.
Inisiatif ini menonjolkan dedikasi Recoda dalam membangunkan komuniti yang lebih sihat dan berdaya maju di Sarawak sekali gus menyumbang kepada visi menjadikan kawasan ini sebagai model pembangunan mampan dan inklusif.








