PUTRAJAYA – Kerjasama erat Malaysia dan Pakistan bukan sahaja akan memperluas peluang ekonomi, malah memperkukuh perpaduan dunia Islam melalui perdagangan, pelaburan dan industri halal yang mampan, kata Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.
Jurucakap Kerajaan MADANI itu berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama rakan sejawatannya, Muhammad Shehbaz Sharif, menegaskan ikatan persahabatan yang kukuh, serta aspirasi bersama untuk membina kerjasama lebih dinamik dan berdaya tahan.
“Pemimpin kedua-dua negara mengadakan mesyuarat dua hala hari ini (semalam), serta bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa.
“Kedua-dua pihak antara lain berpuas hati dengan usaha berterusan dalam memperkukuh perdagangan dan pelaburan dua hala, termasuk melalui Perjanjian Perkongsian Ekonomi Lebih Rapat Malaysia–Pakistan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Fahmi berkata, Malaysia juga menyatakan hasrat meningkatkan eksport minyak sawit ke Pakistan bagi memenuhi permintaan sektor pemprosesan makanan dan pembuatan di negara tersebut.
Beliau berkata, kedua-dua negara, bersetuju memperkukuh kerjasama dalam bidang halal, termasuk memudahkan pengiktirafan bersama pensijilan halal, memperkukuh rantaian bekalan makanan halal, serta berkongsi amalan terbaik dalam pensijilan halal.
“Insya-Allah, Malaysia dan Pakistan akan terus perkukuh hubungan diplomatik dan ekonomi,” katanya.








