
PAKAN – Program Mini Karnival Kerja Outreach MyFutureJobs kolaborasi dengan Kelab Belia Pekan Pakan diadakan di Dewan Serbaguna SK.Nanga Babai pada Sabtu.
Melalui program ini, beberapa agensi lain yang terlibat dalam program seperti PERKESO, Jabatan Tenaga Kerja dan Amanah Saham Berhad, KMKK dan Biro Wanita kawasan Pakan.
Pada masa yang sama, terdapat lima syarikat seperti OM Materials (Sarawak) Sdn Bhd, Sarawak Land Consolidation & Rehabitiation Authority (SALCRA), PMB Silicon Sdn Bhd, Grand Millenium Kuala Lumpur – CDL Hotels (M) Sdn Bhd dan ICON Trans Sdn Bhd turut serta dan menjalankan temu bual secara langsung untuk individu yang berminat dengan kekosongan jawatan yang ditawarkan di syarikat mereka.
Terdapat sesi ceramah yang diadakan berkaitan dengan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah dan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri oleh pihak PERKESO.
Selain itu, Jabatan Tenaga Kerja juga memberi taklimat kepada peserta berkaitan cara membuat aduan pekerja terhadap majikan menggunakan saluran yang tepat dan betul.
Menariknya, pendaftaran bagi akaun Amanah Saham Berhad (ASB) juga dapat dilakukan secara terus oleh pihak ASB di kaunter mereka.
Pengerusi Kelab Belia Pekan Pakan, Kevin Jampang anak Rangak berpendapat program yang sedemikian sangat berkesan dan relevan di kawasan pendalaman.
“Ia dapat mengurangkan jumlah penggangguran sekali gus meningkatkan taraf ekonomi di kawasan pedalaman terutama golongan belia yang lepasan SPM, STPM, IPTA DAN IPTS,” kata Kevin.
Ujarnya, program tersebut dapat membantu golongan muda untuk mencari peluang pekerjaan di syarikat-syarikat besar.
“Secara tidak langsung ia juga dapat meningkatkan taraf ekonomi golongan muda di kawasan pendalaman,” jelasnya lagi.