
PELABURAN dan kerjasama berterusan dengan syarikat telekomunikasi Ericsson diharap akan mampu meletakkan Malaysia sebagai negara teknologi 5G terkemuka di persada dunia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan hasrat itu sewaktu pertemuan dengan delegasi Ericsson yang diketuai Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Börje Ekholm pada Rabu.
Anwar menerusi hantaran di akaun Facebook beliau berkata, pertemuan itu membincangkan perkara berkaitan pelaksanaan rangkaian 5G di Malaysia yang telah melebihi 80 peratus daripada kawasan berpenduduk yang diliputi dengan mencatatkan prestasi dan pengalaman pengguna antara yang terbaik di dunia.
“Susulan kejayaan pelaksanaan 5G di Malaysia, saya mengalu-alukan pelaburan, kerjasama strategik dan perkongsian kepakaran dalam meningkatkan keupayaan peluasan rangkaian 5G yang boleh dimanfaatkan oleh semua sektor.
“Saya berharap agar kerjasama erat ini dapat memacu penggunaan 5G secara meluas hatta (seterusnya) mempercepatkan pertumbuhan ekonomi digital di Malaysia,” katanya lagi.