Kerja naik taraf padang Stadium Perak cecah RM500,000

IPOH – Padang bola sepak di Stadium Perak, Ipoh, akan dinaik taraf melibatkan baik pulih sistem saliran dan menukar rumput baharu menggunakan geran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan kos mencecah RM500,000.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah berkata, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) telah menjalankan lantikan kontraktor bagi kerja-kerja berkenaan dan dijangka dimulakan selepas Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) 20 hingga 24 Oktober ini.

“Lantikan kontraktor bagi kerja-kerja naik taraf telah dilaksanakan oleh MBI. Kita mengambil maklum keadaan padang tersebut yang tidak lagi sesuai digunakan terutama hujan lebat.

“Kita beri laluan dahulu kepada Kejohanan Olahraga MSSM dan sebaik sahaja selesai kejohanan tersebut, Stadium Perak akan ditutup untuk kerja naik taraf sistem perparitan dan gantian rumput dijalankan.

“Kita jangka masa siap sehingga Jun 2025,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui sempena Sambutan Hari Sukan Negara peringkat negeri Perak di Kompleks Belia dan Sukan Perak, di sini, pada Sabtu.

Majlis disempurnakan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan turut dihadiri Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun dan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Perak, Nor Azah Ahmad Dahalan.

Pada Jumaat, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh meminta semua negeri yang sudah menerima geran daripada KBS bagi pelaksanaan projek menaik taraf padang bola sepak di stadium utama negeri untuk lebih serius menggunakan geran itu berdasarkan skop ditetapkan bagi memastikan tiada gangguan bagi perjalanan liga pasukan masing-masing.

Mengulas lanjut, Khairudin berkata, baki perlawanan melibatkan pasukan Liga Super Perak akan dijalankan pada sebelah petang di Stadium Majlis Perbandaran Manjung.

“Kita maklum perkara ini dan bersedia untuk memohon peruntukan lebihan bagi menyelesaikan isu tersebut. Apabila siap kerja naik taraf di Stadium Perak nanti, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) akan membuat pemeriksaan.

“Sekiranya sistem dan padang sesuai, maka perlawanan Liga Super pada musim akan datang akan kembali bermain di Stadium Perak,” katanya.

Perlawanan pertama Perak FC di Stadium Majlis Perbandaran Manjung adalah pada 19 Oktober ini menentang Sabah FC pada jam 5 petang.

MFL turut menetapkan tarikh baharu perlawanan tertunda antara Perak FC dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) dijalankan di stadium tersebut pada 10 November depan.

Related Posts

RM1 juta suntikan segera PMKS Sabah, kerajaan negeri perluas SME-Up 2026

TENOM – Dalam usaha memperkukuh daya tahan ekonomi negeri, Kerajaan Sabah mengambil langkah proaktif dengan memperkenalkan Tabung Khas Pembangunan Keusahawanan berjumlah RM1 juta serta memperluaskan pelaksanaan Program SME-Up 2026 bagi…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Projek RM123 juta naik taraf laluan pedalaman Ngemah

KANOWIT – Sarawak terus komited memperkukuh infrastruktur luar bandar menerusi projek naik taraf laluan balak yang menghubungkan Skim Penempatan Semula (SPS) Ngungun ke SPS Jagau di kawasan Ngemah, menelan belanja…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

UMNO perlu hala tuju jangka panjang, perkasa pembangunan Melayu

UMNO perlu hala tuju jangka panjang, perkasa pembangunan Melayu

SPRM panggil Rafizi bantu siasatan pelaburan RM1.1 bilion Isnin ini

SPRM panggil Rafizi bantu siasatan pelaburan RM1.1 bilion Isnin ini

RM1 juta suntikan segera PMKS Sabah, kerajaan negeri perluas SME-Up 2026

RM1 juta suntikan segera PMKS Sabah, kerajaan negeri perluas SME-Up 2026

Projek RM123 juta naik taraf laluan pedalaman Ngemah

Projek RM123 juta naik taraf laluan pedalaman Ngemah

Kaul Mukah wadah kukuhkan perpaduan, pemangkin pelancongan

Kaul Mukah wadah kukuhkan perpaduan, pemangkin pelancongan

UMNO perlu tangani keresahan Melayu, perbaiki keyakinan rakyat

UMNO perlu tangani keresahan Melayu, perbaiki keyakinan rakyat