SAMBUTAN Hari Kebangsaan ke-68 peringkat negeri Perlis hari ini diserikan dengan lintas hormat kenderaan perisai ringan Ferret Scout Car yang menjadi koleksi peribadi Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail di Kangar Jaya pagi tadi.
Kenderaan bersejarah itu merupakan kurniaan Raja Jordan, Raja Abdullah II kepada baginda sebagai tanda persahabatan rapat antara kedua-dua institusi diraja, sekali gus melambangkan hubungan istimewa Perlis dan Jordan.
Ferret Scout Car yang dibangunkan syarikat Daimler di United Kingdom pada era pasca Perang Dunia Kedua pernah digunakan secara meluas oleh British Cavalry antara 1951 hingga 1953.
Di Malaysia, ia memasuki perkhidmatan Tentera Darat pada 1957 semasa penubuhan B Squadron Federation Armoured Car Regiment, dan menjadi tonggak peninjauan penting pada era tersebut.
Kenderaan dengan berat 4.4 tan dan dilengkapi mesingan kegunaan am (MGKA) 7.62 milimeter berkhidmat dalam pelbagai operasi termasuk Insurgensi Pertama dan Kedua di Tanah Melayu, misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Congo (1960–1963) serta Konfrontasi Indonesia.

Sambutan di Perlis pada tahun ini menyaksikan penyertaan 2,820 anggota kontinjen terdiri daripada 73 pasukan kawad kaki, tujuh kontinjen kenderaan serta 165 aset yang terlibat dalam perbarisan rasmi.
Selain lintas hormat, acara turut disemarakkan dengan persembahan koir, deklamasi sajak dan finale yang melibatkan gabungan penari sekolah serta universiti dengan alunan lagu patriotik termasuk Jalur Gemilang.
Seawal jam 6 pagi, ribuan rakyat mula memenuhi kawasan perbarisan sambil mengibarkan Jalur Gemilang dan mengenakan pakaian bertemakan kemerdekaan, mewujudkan suasana penuh warna-warni di sepanjang laluan utama.
Sorakan ‘Merdeka’ bergema setiap kali kontinjen melintas di hadapan pentas diraja, menggambarkan semangat patriotisme rakyat Perlis yang tetap utuh selepas lebih enam dekad negara mencapai kemerdekaan.
Tuanku Syed Sirajuddin bersama Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid turut berkenan menyampaikan hadiah kepada kontinjen terbaik pelbagai kategori sebelum beramah mesra bersama rakyat.







