
GEORGE TOWN – Seorang kerani syarikat swasta berusia 60 tahun mengalami kerugian sebanyak RM685,000 selepas terpedaya dengan skim pelaburan dalam talian yang menjanjikan pulangan lumayan dalam tempoh singkat.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa pada 8 Mei lalu berhubung kejadian tersebut dan siasatan kini dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Menurutnya, mangsa dikatakan mula terjerat dalam penipuan berkenaan kira-kira hujung Disember tahun lalu selepas melihat iklan pelaburan berkonsepkan jual beli saham di aplikasi tersebut menerusi Facebook.
“Tertarik dengan pulangan tinggi yang dijanjikan, mangsa telah menghubungi suspek melalui WhatsApp sebelum dimasukkan ke dalam satu kumpulan WhatsApp.
“Mangsa kemudian diminta memuat turun satu aplikasi khusus, mendaftar keahlian dan mula melabur. Sepanjang tempoh tersebut, mangsa membuat 19 transaksi kemasukan wang ke dalam empat akaun bank berbeza,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Hamzah menambah, mangsa hanya menyedari dirinya ditipu apabila cuba mengeluarkan keuntungan berjumlah RM1.4 juta namun diminta membuat pembayaran sebanyak 10 peratus daripada nilai berkenaan.
“Mangsa kemudiannya telah membuat laporan polis bagi siasatan lanjut dijalankan.
“Orang ramai diingatkan agar tidak mudah terpedaya dengan iklan pelaburan dalam talian yang menjanjikan pulangan lumayan,” katanya.
Sehubungan itu, Hamzah berkata, sebarang pelaburan perlu disemak terlebih dahulu dengan pihak Bank Negara Malaysia atau Suruhanjaya Sekuriti Malaysia bagi memastikan entiti atau individu terlibat sah dan dibenarkan menawarkan produk pelaburan.
“Portal ‘Semak Sebelum Lebur’ turut disediakan untuk membantu pelabur membuat semakan sebelum menyertai mana-mana skim pelaburan.
“Kes penipuan dalam talian kini menjadi antara jenayah yang boleh menggugat kestabilan ekonomi negara sekiranya tidak dibendung,” katanya.