
PERDANA Menteri, Datuk seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan telah membincangkan dengan teliti kerangka dan inisiatif dalam memberi anjakan penyertaan, pemilikan serta penguasaan Bumiputera selari aspirasi Ekonomi Madani.
Menurutnya, perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB) yang dipengerusikannya pada Isnin.
“Sewaktu mempengerusikan mesyuarat itu hari ini, tumpuan terarah kepada perencanaan transformasi dan hala tuju baharu agenda Bumiputera untuk sedekad ke hadapan,” katanya menerusi catatan di Facebook.
Beliau berkata, sokongan agensi kerajaan termasuk syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) masih diperlukan melalui penyelarasan, pengukuhan pendekatan serta sokongan penggunaan teknologi baharu yang didasari mandat penubuhan mereka.
Selain itu, beliau turut menegaskan keperluan supaya inisiatif dirangka turut dipanjangkan manfaatnya kepada kumpulan masyarakat lain yang memerlukan.