KERAJAAN akan terus berikhtiar sedaya upaya dengan kapasiti yang ada untuk memartabatkan kedudukan Islam dalam kerangka perlembagaan dan semangat Malaysia MADANI, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri melalui hantaran di Facebook berkata, Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) menjadi medan penting antara institusi Raja dan kerajaan dalam menyelaras hal ehwal Islam di negara ini.
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi MKI berkata, ini khususnya dalam memperkasa pembangunan insan berteraskan ihsan, adab dan ilmu.
Terdahulu, Anwar menghadiri MKI ke-73 dipengerusikan Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah, hari ini.
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, ahli dilantik mewakili negeri-negeri, pemimpin tertinggi kerajaan serta semua ahli MKI yang dilantik mengikut kepakaran masing-masing.






