
KERAJAAN bersetuju untuk meminda Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736) bagi memudahkan pelaksanaan keputusan daripada pihak yang berhasrat mengadakan perhimpunan aman.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keperluan untuk mendapatkan kelulusan tempat seperti termaktub dalam beberapa seksyen di bawah Akta 736 akan diketepikan.
“Seksyen 11 Akta 736 (yang mensyaratkan penganjur perhimpunan) memperoleh persetujuan pemilik dan penghuni tempat perhimpunan yang menjadi pertikaian sekarang akan dikeluarkan dari peraturan.
“Seterusnya, yang diperlukan hanya pemberitahuan atau pemakluman kepada polis, lima hari sebelum itu, supaya polis dapat jaga (dan membuat) kawalan keselamatan serta lalu lintas,” katanya
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) pada sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini, sama ada kerajaan bersedia meminda Akta Perhimpunan Aman 2012 atau Akta 736 bagi memudahkan rakyat berhimpun secara aman tanpa perlu memohon kebenaran daripada pihak berkaitan sebelum berhimpun.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, siasatan terhadap 10 orang mahasiswa berkaitan dengan perhimpunan antirasuah yang dianjurkan baru-baru ini turut akan dihentikan dan memberi jaminan bahawa tiada sebarang tindakan yang akan diambil.
“Begitu juga dengan pihak yang terlibat dengan aktiviti mogok lapar bantahan tunjuk perasaan SOSMA (Akta Kesalahan Keselamatan Langkah-Langkah Khas 2012) beberapa hari lalu, juga tidak akan diambil tindakan.
“Walaupun pindaan akan dibuat pada sesi akan datang, kita sudah beri moratorium, maknanya polis tidak akan mengguna pakai undang-undang itu dan memberi kelonggaran dengan maksud pemakluman, pemberitahuan lima hari supaya polis tahu di mana perlu menjaga lalu lintas dan keselamatan.
“Ini berita baik dari Kerajaan Madani yang belum pernah dibuat kerajaan terdahulu termasuk kerajaan sana (Perikatan Nasional),” katanya.




