PUTRAJAYA – Kerajaan menyasarkan Malaysia mampu menghasilkan cip semikonduktor berjenama ‘Made by Malaysia’ dalam tempoh tiga tahun menerusi kerjasama strategik antara Malaysia dan Arm Limited.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, sasaran itu akan direalisasikan melalui usaha meningkatkan keupayaan industri semikonduktor negara daripada aktiviti bahagian belakang (back-end), iaitu pembungkusan dan pengujian kepada bahagian hadapan (front-end) yang melibatkan reka bentuk litar bersepadu (IC design).
Menurut beliau, Malaysia tidak bermula daripada kosong kerana negara sudah mempunyai ekosistem kukuh dalam sektor semikonduktor, namun akses kepada harta intelek (IP) amat penting bagi membolehkan syarikat tempatan bergerak ke peringkat reka bentuk cip.
“Kita meletakkan sasaran supaya dalam tempoh tiga tahun, Malaysia dapat menghasilkan cip yang benar-benar boleh kita sebut sebagai ‘Made by Malaysia’.
“Ia bukan sekadar pemberian token teknologi, tetapi melibatkan komitmen syarikat daripada segi penggunaan tenaga mahir tempatan, peningkatan nilai dalam rantaian industri serta pembangunan produk yang boleh dipasarkan ke peringkat global,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Penyerahan Surat Tawaran kepada Entiti Diluluskan di bawah Kerjasama Strategik antara Kerajaan Malaysia dan ARM Limited di Kementerian Ekonomi, pada Isnin.
Mengenai jenis cip yang menjadi tumpuan, Akmal Nasrullah berkata, antara fokus utama ialah cip berkaitan server berikutan pertumbuhan pesat pusat data di negara ini.
“Keperluan terhadap cip berprestasi tinggi dijangka meningkat memandangkan operator pusat data lazimnya perlu menaik taraf kapasiti server mereka dalam tempoh dua hingga tiga tahun.
“Selain itu, kerajaan turut melihat potensi besar dalam pembangunan cip bagi sektor automotif dan automasi kenderaan. Ada juga beberapa bidang lain berdasarkan padanan antara kekuatan syarikat berkenaan dengan ruang pasaran yang mereka dapat tumpukan,” katanya.
Dalam pada itu, Akmal Nasrullah berkata, kerajaan kini memberi tumpuan untuk memastikan semua token yang diperuntukkan di bawah kerjasama tersebut dimanfaatkan sepenuhnya dan masih terdapat ruang untuk menilai syarikat lain bagi menerima akses IP pada masa depan.
Pada masa ini, katanya, beberapa syarikat sedang melalui proses penilaian teknikal sebelum dibawa ke peringkat jawatankuasa pemandu untuk pertimbangan lanjut.
“Momentum kerjasama Malaysia-Arm dilihat positif bagi tahun 2026 dan kerajaan bersedia membuka ruang kepada lebih banyak syarikat tempatan untuk memohon akses di bawah dua kategori token berkenaan.
“Penerima CSS dijangka bersedia untuk terus ke arah penciptaan manakala AFA adalah untuk pendedahan kepada teknologi atau kemahiran yang ada di bawah sistem Arm,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan itu juga bertujuan membantu syarikat tempatan yang masih belum bersedia membangunkan cip sendiri dapat mempelajari teknologi dan mengenal pasti peluang pembangunan masa depan.
“Dalam jangka panjang, kerajaan berharap kekuatan industri, pembangunan reka bentuk IP dan bakat tempatan dapat meletakkan Malaysia sebagai sebahagian penting dalam rantaian bekalan global semikonduktor.
“Kita meletakkan aspirasi supaya cip yang dihasilkan oleh Malaysia dapat diterima pakai dalam rantaian nilai peringkat dunia,” katanya.
Tambahnya, kerajaan menyasarkan pembangunan 10 syarikat semikonduktor tempatan dengan hasil antara RM1 bilion hingga RM4.7 bilion serta menyokong sekurang-kurangnya 100 syarikat lain berpotensi menjana hasil tahunan sekitar RM1 bilion.
“Ini bukan sekadar angka, tetapi strategi untuk membina syarikat tempatan yang lebih besar, lebih berdaya saing dan mampu menembusi pasaran global,” katanya.





