
KOTA KINABALU – Kerajaan Sabah terus menyokong inisiatif yang memperkukuh agro-pelancongan, memperkasa komuniti luar bandar serta memperluas peluang ekonomi berasaskan pertanian.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Joniston Bangkuai.Beliau berkata, usaha tersebut selaras dengan agenda pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) yang meletakkan sektor pertanian, pelancongan dan pembuatan sebagai tiga tonggak utama pertumbuhan ekonomi negeri yang saling melengkapi.
“Pertanian menjadi asas, pelancongan menambah nilai melalui pengalaman dan capaian pasaran, manakala pembuatan menyokong aktiviti hiliran serta produk bernilai tambah.
“Dalam konteks ini, agro-pelancongan merupakan hubungan semula jadi antara ketiga-tiga sektor ini,” katanya ketika merasmikan Forum Sabah Leisure Farms and Agricultural Tourism di sini, pada Sabtu.

Joniston yang juga Pengerusi STB berkata, agro-pelancongan bukan sekadar pengeluaran pertanian, sebaliknya memberi pengalaman bermakna kepada pelawat melalui aktiviti seperti lawatan ladang, kutipan buah, lawatan berpandu dan pembelajaran secara langsung.
“Pada masa sama, ia membuka peluang kepada petani untuk mempelbagaikan pendapatan termasuk melalui pemprosesan kecil-kecilan dan produk nilai tambah.
“Penganjuran forum ini tepat pada masanya kerana menghimpunkan pemain industri pertanian dan pelancongan bagi bertukar idea serta meneroka pendekatan praktikal yang boleh disesuaikan dengan konteks tempatan Sabah.
“Saya berharap forum forum ini akan membawa kepada lebih banyak kerjasama strategik, projek perintis serta pelaksanaan inisiatif di lapangan bagi memperkukuh sektor agro-pelancongan negeri,” kongsinya.
Forum tersebut dianjurkan oleh Persatuan Penanam Durian dan Buah Tropika Sabah (MaSDa) dengan kerjasama Taiwan Leisure Farms Development Association (TLFDA) serta disokong oleh Lembaga Pelancongan Sabah (STB).
Pada majlis sama, MaSDa dan TLFDA turut menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi mewujudkan kerangka kerjasama dalam memperkukuh hubungan pertanian dan pelancongan antara Sabah dan Taiwan, merangkumi promosi pelancongan, pertukaran ilmu, peluang latihan serta pembangunan pelancongan lestari.
Kerjasama itu turut melibatkan program pertukaran dan pembelajaran di Sabah dan Taiwan, peluang penyertaan pengusaha Sabah dalam institut latihan Rural Tourism and Leisure Agriculture Training Institute di bawah TLFDA, serta bimbingan dalam pembangunan dan pensijilan industri pelancongan desa Sabah.







