
KOTA KINABALU – Kerajaan Sabah memperuntukkan sebanyak RM110,000 sebagai sumbangan bagi penganjuran Anugerah Kewartawanan Kinabalu tahun ini, meningkat berbanding RM100,000 yang disalurkan pada tahun lalu.
Sumbangan tersebut diserahkan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor kepada Persatuan Wartawan Sabah (SJA) selaku penganjur anugerah berprestij itu dalam Majlis Hari Raya Aidilfitri Ketua Menteri Bersama Rakan Media yang berlangsung di Dewan Bankuasi, Menara Kinabalu, pada Sabtu.
Pengarah Media dan Komunikasi Jabatan Ketua Menteri, Datuk Lucy Irene Yong dalam ucapannya berkata, majlis itu dianjurkan khas oleh Ketua Menteri sebagai penghargaan kepada para pengamal media di Sabah.
“YAB Ketua Menteri dan Kerajaan Negeri amat menghargai peranan dan kerjasama yang diberikan oleh pihak media, khususnya dalam membantu menyampaikan maklumat serta melaporkan pelaksanaan program-program kerajaan kepada rakyat,” katanya.
Tambah Lucy, sambutan Hari Raya tahun ini lebih bermakna apabila ia diadakan di Menara Kinabalu yang mempunyai kemudahan dewan serba cantik dan indah, sekali gus memberi suasana mesra untuk meraikan tetamu yang hadir.
Majlis itu turut dihadiri Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ruslan Muharam; Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Joniston Bangkuai.
Hadir sama Pengarah Penerangan Negeri Sabah, Jainisah Mohd Noor; Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia Negeri Sabah, Mohd Yusni Mohamed Ali; Presiden SJA, Mariah Doksil; Presiden Persatuan Wartawan Kota Kinabalu (KKJA), Jimmy Goh, selain ketua-ketua pengarang, ketua-ketua biro media cetak dan portal berita.





