
KOTA KINABALU – Energy Commission of Sabah (ECoS) dengan Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (MUT) menjalinkan kerjasama melalui Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) bagi pembangunan Sabah, Sarawak khususnya dalam sektor tenaga.
Menurut Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, ini termasuk pelancaran Label Keselamatan ECoS-SIRIM versi terkini.
Katanya, inisiatif ini adalah satu langkah proaktif daripada ECoS untuk melindungi kepentingan pengguna termasuk memastikan hanya peralatan elektrik dan gas yang selamat serta berkualiti tinggi akan dipasarkan di negeri ini.
“Pelancaran label ini juga membawa kepada satu lagi program penting yang berkaitan iaitu upacara pertukaran dokumen MoU antara ECoS dan Kerajaan Negeri Sarawak menerusi MUT pada hari ini.
“Dasarnya strategi ini sangat penting dan menzahirkan penerapan bersama terhadap keselamatan peralatan elektrik dan gas yang sekali lagi menekankan peranan ECoS dalam memastikan produk yang digunakan oleh rakyat kita memenuhi biaya yang tertinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pertukaran MoU antara ECoS dengan MUT serta Pelancaran Label ECoS/Sirim dan Pelancaran Program TVET angkat ECoS Sempena Majlis Ramah Mesra Aidilfitri ECoS di sini, pada Selasa.

Selain itu, Hajiji turut menyeru orang ramai agar sentiasa mengutamakan aspek keselamatan dalam penggunaan peralatan elektrik dan gas.
“Aspek keselamatan barangan perlu diberi perhatian serius oleh pihak yang berkaitan.
“Sebagai kerajaan, kita komited dan serius dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan barangan.
“Saya mahu pihak-pihak bertanggungjawab akan setiasa berusaha untuk memperkukuhkan perlindungan pengguna khususnya dalam aspek keselamatan barangan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ECoS, Datuk Ir. Abdul Nasser Abdul Wahid berkata, terdapat tiga pertukaran dokumen MoU antara ECOS dan MUT dilaksanakan.
“Pertama, MoU antara ECOS dan MUT akan dilaksanakan sebagai langkah untuk mewujudkan sistem kawal selia bersama yang dipersetujui oleh Sabah dan Sarawak.
“MoU ini bertujuan mengiktiraf secara bersama label keselamatan bagi peralatan elektrik dan gas.
“Kedua, kita akan melancarkan Program TVET angkat ECOS yang merupakan satu inisiatif untuk membangunkan tenaga kerja tempatan dalam sektor tenaga.
“Inisiatif ini menandakan satu langkah penting dalam pembangunan tenaga kerja mahir di Sabah melalui pemeteraian MoU antara ECOS dan Institut Latihan Teknik dan Perdagangan di bawah Jabatan Pembangunan Sumber Manusia.
“Kerjasama strategik ini, yang memberi tumpuan khusus kepada bidang elektrik dan gas, dijangka dapat melahirkan tenaga kerja yang kompeten sekali gus menjadi antara pemboleh utama (enabler) dalam Pelan Induk Tenaga Sabah 2040,” ujarnya.
Katanya, yang ketiga adalah majlis penyerahan sijil pendaftaran sebagai Badan Penilaian Pematuhan Kelengkapan Elektrik Terkawal kepada SIRIM QAS International Sdn. Bhd.
Jelas Abdul Nasser, SIRIM QAS sebelum ini telah dilantik sebagai badan kawal selia bagi kelengkapan gas terkawal sejak September 2019.
“Inisiatif ini juga dilihat mampu meningkatkan kesedaran orang awam terhadap kepentingan keselamatan elektrik dan gas, seterusnya membina persekitaran yang lebih selamat untuk semua,” katanya.








