
TUARAN – Kerajaan Negeri Sabah bakal melaksanakan satu lagi program baharu pada tahun ini bagi membantu meringankan beban rakyat negeri ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata demikian semasa melancarkan Program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR) di Pusat Kebudayaan Rumpun Bajau Sama, di sini pada Rabu.
Beliau berkata, inisiatif tersebut adalah membuktikan usaha dan komitmen kerajaan negeri Sabah dalam usaha menoktahkan kemiskinan sekali gus membantu rakyat khususnya golongan miskin dan miskin tegar.
Katanya, program baharu itu dijangka akan diumumkan pada tahun ini sekiranya segala perancangan berjalan lancar dan teratur selain megikut kemampuan kewangan negeri.
“Kabinet Negeri Sabah sentiasa memikirkan apakah usaha-usaha yang boleh kita berikan kepada rakyat terutamanya mereka yang di dalam kategori miskin dan miskin tegar.
“Kalau kewangan kita mengizinkan mungkin ada lagi satu program yang lebih baik daripada ini kita akan lancar pada tahun ini,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai program SYUKUR, beliau berkata seramai 100,000 orang akan menerima manfaat daripada program tersebut.
“Program SYUKUR bertujuan meringankan beban kewangan rakyat dan memastikan kesejahteraan kehidupan mereka terjaga.
“Program ini menyediakan bantuan tunai sebanyak RM300 setiap bulan kepada penerima yang layak sehingga 31 Disember 2025 dengan jumlah peruntukan sebanyak RM358.5 juta dan akan memberi manfaat kepada 100,000 orang penerima,” katanya.
Sementara itu, bagi pembayaran SYUKUR akan dibayar secara berfasa dengan setiap fasa adalah di bayar secara ‘lump-sum’ bagi tempoh tiga bulan iaitu sebanyak RM900 akan dikreditkan ke akaun kepada mereka yang mempunyai akaun dan kepada penerima bantuan secara tunai.
Bagi pembayaran fasa pertama (Januari sehingga Mac 2025) diagihkan bermula Februari manakala fasa kedua (April sehingga Jun 2025), diagihkan bermula April, fasa ketiga (Julai sehingga September 2025) diagihkan bermula September 2025 dan fasa keempat (Oktober sehingga Disember 2025) diagihkan pada Oktober 2025.




