
KERAJAAN merancang untuk melaksanakan mekanisme pengesahan umur dan identiti menggunakan sistem Kenali Pelanggan Anda secara elektronik (eKYC) bagi mengawal akses kanak-kanak terhadap aplikasi digital yang tidak sesuai dengan usia mereka, termasuk aplikasi temu janji OMi dan permainan dalam talian Roblox.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil merangkap Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, langkah itu akan membantu memastikan kanak-kanak tidak terdedah kepada risiko penyalahgunaan aplikasi serta jenayah dalam talian.
“Selepas ini, kita juga akan pertimbangkan untuk menggunakan eKYC yang mengesahkan dokumen diterbitkan oleh pihak kerajaan seperti MyKad, pasport dan MyDigital ID bagi tujuan pengesahan umur serta identiti,” ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media mingguan di Putrajaya, hari ini.
Menurut Fahmi, cadangan itu dibuat susulan laporan mengenai seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun yang menjadi mangsa rogol selepas berkenalan dengan seorang lelaki dewasa melalui aplikasi OMi.

“Ya, betul, kita akan ambil tindakan. Jadi saya telah minta kerana OMi ini adalah aplikasi yang sedikit berbeza.
“Aplikasi ini telah dilaporkan disalah guna oleh seorang kanak-kanak berusia 12 tahun untuk berkenalan dengan seorang dewasa. Akibat daripada pertemuan itu, anak kecil ini telah dirogol,” maklumnya.
Tambah beliau, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah diarahkan untuk meneliti serta memanggil pihak pengendali aplikasi tersebut bagi mendapatkan penjelasan mengenai mekanisme verifikasi umur yang digunakan.
Beliau berkata, langkah sama turut diperluas kepada aplikasi permainan dalam talian Roblox yang sedang dikaji dari segi keselamatan pengguna bawah umur.
“Saya telah mengadakan pertemuan dengan dua wakil Roblox, seorang berpangkalan di Korea Selatan dan seorang lagi di Australia, dua hari lalu.
“Dalam pertemuan itu, saya memaklumkan bahawa kerajaan memandang serius beberapa insiden yang berlaku, termasuk yang terbaru melibatkan seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun yang mencederakan adiknya berusia enam tahun,” katanya.
Fahmi menjelaskan bahawa siasatan awal polis mendapati permainan Roblox mungkin mempunyai kaitan dengan kejadian itu, namun siasatan lanjut masih dijalankan.
“Polis sedang menyiasat dan sekiranya ada bukti, ia akan dikemukakan di mahkamah. Di pihak kerajaan, kita mengambil maklum pandangan pelbagai pihak termasuk ibu bapa yang bimbang terhadap penggunaan pelbagai aplikasi permainan dalam talian,” katanya lagi.







