
SARATOK – Kerajaan Persekutuan terus memperkukuh jaringan jalan raya di kawasan luar bandar selepas satu lagi inisiatif bakal direalisasikan iaitu pembinaan Jalan Kupang ke Simpang Jalan Bajau, Saratok.
Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak menerusi kenyataan hari ini berkata, projek ini bakal meningkatkan tahap aksesibiliti dan kemudahan perhubungan bagi penduduk setempat.
Projek pembinaan jalan sepanjang 19.9 kilometer ini dijangka siap pada 15 September 2027 yang bakal memberi manfaat kepada lima kampung iaitu Rumah Rabiah Kampung Kupang, Rumah Ganing, Rumah Selambong/Rangan, Rumah Lakon, Rumah Anau, serta Sekolah Kebangsaan Sungai Entebu yang turut berada dalam laluan tersebut.
Pembinaan jalan ini juga akan merapatkan hubungan antara kawasan pesisir dengan bandar utama seperti Betong, Sarikei dan Sibu, sekaligus memberi kemudahan mobiliti yang lebih efisien kepada penduduk berdekatan bagi urusan membeli barangan keperluan harian, pendidikan serta ekonomi.
Kejayaan projek ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Persekutuan dalam memperkasa pembangunan infrastruktur luar bandar, sejajar dengan aspirasi meningkatkan kesejahteraan rakyat secara menyeluruh.

Terdahulu, Majlis Pecah Tanah bagi projek bernilai RM112.9 juta ini telah disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Foto: Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak







