
TEMERLOH – Kerajaan Negeri Pahang memperkasakan kebajikan petugas agama melalui penyerahan Bantuan Negeri (BN) Pahang Kluster Agama bagi Zon Temerloh di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah Al Mustain Billah, petang semalam.
Sesi itu adalah siri ke-6 bagi agihan bantuan khas sempena sambutan Aidilfitri tahun ini.
Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, program itu bertujuan menghargai jasa dan komitmen para petugas masjid serta tenaga pengajar agama di negeri ini dalam menyantuni masyarakat.
Pecahan Agihan dan Penerima
“Seramai 544 orang penerima telah dikenal pasti untuk menerima sumbangan itu dengan melibatkan implikasi kewangan berjumlah RM136,200.00.
“Antara yang menerima sumbangan adalah 162 imam, bilal seramai 138,siak 127 penerima, guru takmir 40, badan khairat 56 dan wali hakim 21,” katanya.
Turut hadir pada majlis itu Ahli Dewan Undangan Negeri (Lantikan) Pahang, Datuk Ahmad Irshadi Abdullah Al-Qari.
Inisiatif Berterusan
Dalam perkembangan sama, Syed Ibrahim memaklumkan, pemberian sumbangan itu adalah manifestasi keprihatinan Kerajaan Pahang terhadap kebajikan golongan yang menjadi tulang belakang institusi masjid dan pendidikan agama.
“Bantuan ini diharapkan dapat meringankan beban persiapan menyambut Syawal yang bakal menjelang tidak lama lagi.
“Semoga inisiatif ini diberkati Allah SWT dan memberikan manfaat yang luas kepada semua penerima dalam menjalankan amanah mereka di kariah masing-masing,” katanya.







