
KUANTAN – Kerajaan Pahang menafikan Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) membakar dan memusnahkan struktur menempatkan pekerja serta peralatan pekebun haram dalam kawasan terbabit pencerobohan di Raub seperti tular di media sosial.
Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Seri Zulkifli Yaacob berkata, dakwaan itu memberikan gambaran seolah-olah kerajaan negeri menyalahgunakan kuasa dan membuat ugutan melalui cara tidak berperikemanusiaan.
“Ini satu dakwaan tidak berasas dan cubaan memainkan persepsi negatif terhadap kerajaan negeri serta UPNP.
“Kerajaan negeri sentiasa menjunjung tinggi prinsip kedaulatan undang-undang dan tidak sesekali mengambil tindakan di luar prinsip itu,” katanya melalui kenyataan media.
Beliau berkata, kerajaan negeri sentiasa mematuhi penghakiman Mahkamah Tinggi di Kuantan dan perintah Mahkamah Rayuan di Putrajaya yang berkuat kuasa.
Katanya, kerajaan negeri akan kekal menegakkan undang-undang dan bertekad melaksanakan penguatkuasaan bagi memastikan sebarang aktiviti pencerobohan tanah secara haram di atas tanah kerajaan ditangani sebaik mungkin.
“Saya akan memastikan siasatan menyeluruh tuduhan Save Musang King Alliance (SAMKA) ini dan kerajaan negeri tidak teragak-agak mengambil tindakan terhadap cubaan memburukkan imej kerajaan Pahang.
“Saya berharap orang ramai tidak mudah terpengaruh cubaan memfitnah tidak bertanggungjawab sebegini,” katanya.