Kerajaan Madani tumpu tatakelola bantu basmi kemiskinan

DASAR Kerajaan Madani yang menumpukan perhatian kepada isu tatakelola bertujuan memastikan bantuan kepada golongan miskin di negara ini sampai kepada sasaran, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, walaupun terdapat pelbagai agensi di negara ini yang ditubuhkan untuk membantu dan melaksanakan program membasmi kemiskinan, masih terdapat ketirisan menyebabkan bantuan tidak sampai kepada golongan sasar.

“Apa yang kurang di Malaysia? Semua ada, sebut soal pemasaran kita ada FAMA, untuk ikan kita ada LKIM, soal ladang kita ada Pertubuhan Peladang, pekebun kecil, Risda, Felcra, pembukaan tanah ada Felda.

“Namun, apakah agensi-agensi ini diurus dan dilaksanakan dengan telus dan bertangggungjawab? Sebahagian ya, sebahagiannya tidak,” katanya ketika berucap pada majlis Syarahan Za’ba Seabad Pemikir Kemiskinan dan Hari Akademia Negara di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Perak, hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang.

Anwar berkata, kerajaan membelanjakan sebanyak RM22 bilion setahun bagi tujuan membasmi kemiskinan, dan jika jumlah itu berjaya diurus dengan baik, ia mampu menyelesaikan isu kemiskinan di negara ini.

Beliau menegaskan bahawa isu kemiskinan perlu diperangi melalui usaha yang melibatkan pelbagai dimensi.

Katanya, usaha tersebut tidak boleh hanya tertumpu kepada pelaksanaan projek atau program semata-mata, sebaliknya pelbagai aspek berkaitan isu ini, termasuk punca kemiskinan, pemilikan modal dan kecelaruan dalam sistem pemasaran termasuk penindasan oleh orang tengah, perlu diberi perhatian.

“Contohnya, jika harga ikan di Pantai Remis RM2, sampai ke Ipoh (jadi) RM6, dan bila sampai Kuala ke Lumpur, jadi RM12.

“Kecelaruan ini tidak membantu nelayan miskin, kita buat projek bantu rakyat miskin di Pantai Remis, tapi jika kita tak betulkan penindasan orang tengah, ini ketempangan, produktiviti dan modal yang rendah. Inilah masalah yang (perlu) kita tekankan,” katanya.

Anwar berkata, isu kemiskinan dari pelbagai dimensi telah lama diulas dan diperjuangkan oleh sarjana dan akademia, termasuk pemikir bangsa Allahyarham Tan Sri Zainal Abidin Ahmad (Za’ba) dan ilmuan hari ini menjadikan rujukan bagi membina tekad baharu membasmi kemiskinan.

“Kita harus manfaatkan peluang ini untuk membina tekad yang baharu. Dalam sejarah mana-mana bangsa dan negara, terdapat ketika di mana kita diberikan kesempatan untuk memutuskan sama ada kita akan melakukan anjakan ke arah kebaikan atau kekal di takuk lama,” katanya.

Related Posts

Malaysia tegas lindungi kepentingan rakyat dalam dunia tidak menentu

DALAM keadaan dunia yang semakin tidak stabil, langkah Malaysia melalui Petronas untuk berunding mendapatkan bekalan minyak dari Rusia membuktikan satu perkara penting: kepentingan rakyat sentiasa diutamakan melebihi tekanan geopolitik luar.…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Perasmian MRSM Dungun perkukuh agenda STEM, lahir generasi Ulul Albab

DUNGUN – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi merasmikan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Dungun di Kampung Bukit Pauh, sekali gus memperkukuh komitmen kerajaan dalam memperluas akses pendidikan…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Wanita ditahan, lima senjata api termasuk M-16 dirampas

Wanita ditahan, lima senjata api termasuk M-16 dirampas

Wolves turun liga selepas gagal elak penyingkiran

Wolves turun liga selepas gagal elak penyingkiran

Hujan lebat dua jam akibatkan banjir kilat di Cameron Highlands

Hujan lebat dua jam akibatkan banjir kilat di Cameron Highlands

UMS, DBP ganding bahu martabat bahasa dan sastera kanak-kanak

UMS, DBP ganding bahu martabat bahasa dan sastera kanak-kanak

SPRM tahan penjawat awam disyaki kemuka dokumen butiran palsu kira-kira RM1.3 juta

SPRM tahan penjawat awam disyaki kemuka dokumen butiran palsu kira-kira RM1.3 juta

Tujuh lelaki warga asing ditahan cuba ceroboh sempadan

Tujuh lelaki warga asing ditahan cuba ceroboh sempadan