
KERAJAAN MADANI menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) terus komited mengekang ketirisan barang kawalan bersubsidi menerusi penguatkuasaan undang-undang.
Hal itu terbukti apabila Mahkamah Sesyen Kangar hari ini menjatuhkan hukuman denda RM17,000 ke atas seorang pemandu lori yang didapati memiliki 1,220 liter petrol bersubsidi secara tidak sah.
Tertuduh, Muhammad Dinie Fahmi Zulkepli, 23, mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Sharifah Norazlita Syed Salim Idid.
Berdasarkan fakta kes, pihak berkuasa menemui petrol dalam beberapa tong dram dan tong plastik di sebuah rumah tanpa nombor di Kampung Wang Kelian, Kaki Bukit, Padang Besar, sekitar pukul 5.10 petang pada 18 September 2023.
Kesalahan itu dilakukan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 22 (1) akta sama.
Pegawai Pendakwa KPDN, S. Mugunthan, memohon mahkamah mengenakan hukuman maksimum kerana kes itu melibatkan penyelewengan bahan bakar bersubsidi yang memberi kesan kepada kepentingan awam.
Mahkamah turut mengarahkan wang hasil jualan rampasan petrol bernilai RM2,501 dijadikan hasil negara serta barang kes dilupuskan.
Keputusan mahkamah ini membuktikan ketegasan kerajaan dalam memastikan barang kawalan bersubsidi tidak disalahgunakan dan terus sampai kepada golongan yang berhak.




