
TIDAK kira bangsa, agama atau latar belakang, kita semua adalah NANBA yang saling melengkapi antara satu sama lain, demikian kata Datuk Ismail Yusop.
Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM) itu berkata, Kerajaan MADANI adalah NANBA kepada semua kaum dan segenap lapisan masyarakat.
“Kerajaan MADANI ini adalah NANBA anda, sentiasa dekat di hati rakyat, prihatin terhadap keperluan semua, serta komited membina masa depan yang lebih sejahtera.
“Marilah kita terus menyemai semangat perpaduan, menyalakan jiwa kepimpinan anak muda dan mengorak langkah bersama-sama menuju masa depan yang lebih gemilang,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media pada Program Nadi Aspirasi Nasional Bersama Anak Muda (NANBA) Parlimen Kota Raja yang diadakan di Dewan Taman Sentosa, Klang, pada Ahad.

NANBA ialah program yang dicetuskan JKOM bermula Mei lalu dalam usaha mendekati masyarakat berbangsa India di kawasan-kawasan terpilih di seluruh negara.
Program NANBA di Parlimen Kota Raja telah dirasmikan oleh Pengerusi Kasih Malaysia Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga isteri kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
NANBA dalam terjemahan bahasa Melayu adalah kawan. Program ini memfokuskan perpaduan dalam kalangan masyarakat India. Dalam masa yang sama jemputan ke program ini turut melibatkan kaum Melayu dan Cina.
Antara pengisian program ini ialah pertandingan mewarna bagi kanak-kanak, pertandingan lukisan Hena, pameran rerurai, penerangan info daripada agensi kerajaan berkaitan isu buli dan scam-penipuan dalam talian, jualan Rahmah dan juga sumbangan bakul makanan Rahmah, saringan kesihatan dan imunisasi, perkhidmatan Bas Bergerak MEKAR oleh Jabatan Pendaftaran Negara.
“Program NANBA kali ini merupakan siri penutup setelah menjelajah ke beberapa lokasi sebelum ini , bermula di Kulai, Johor, seterusnya di Lembah Pantai, Kuala Lumpur, kemudian di Buntong, Perak pada bulan lepas.
“Setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada Datuk Seri Dr. Wan Azizah binti Dr. Wan Ismail, Pengerusi KASIH Malaysia yang sudi hadir merasmikan program ini,” kata Ismail.







