
PUTRAJAYA – Kerajaan tidak akan berkompromi dalam isu berkaitan keselamatan dalam talian bagi memastikan internet selamat digunakan oleh masyarakat, khususnya kanak-kanak dan keluarga.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, pelbagai langkah holisitik dilaksanakan dan menjadi keutamaan kerajaan selepas banyak insiden jenayah berlaku di dunia siber ketika ini.
Menurut beliau, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah menjalankan pelbagai sesi libat urus dengan pakar keselamatan siber, pengatur cara komputer dan komuniti pembangunan teknologi yang telah dimulakan sejak enam bulan lalu.
“Saya tegaskan menjadikan keutamaan bagi memastikan internet selamat selepas mengsmbil kita jenayah kini sudah makin berhijrah ke dunia siber yang bukan hanya di media sosial, namun apa yang dikenali sebagai ‘world wide wibe’.
“Sehubungan itu, beberapa langkah menyeluruh perlu dilaksana. Saya telah minta MCMC teliti dan mencari penyelesaian yang lebih berkesan.
“Sesi libat urus masih diteruskan dan telah berkali-kali kita laksana perbincangan yang telah dimulakan sejak enam bulan lalu bagi mengenal pasti langkah mampan dan berkesan dalam memastikan internet lebih selamat, terutama kepada kanak kanak dan keluarga,” katanya pada sidang media selepas pasca mesyuarat Kabinet, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas arahan kerajaan terhadap MCMC agar tidak meneruskan arahan mewajibkan semua penyedia perkhidmatan Internet (ISP) di Malaysia melakukan penghalaan semula Sistem Nama Domain (DNS).
Ditanya berhubung kehadiran kapal perang China di perairan Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ), Fahmi menegaskan isu terbabit akan diurus menerusi saluran diplomatik.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, isu itu tidak dibincangkan secara khusus dalam mesyuarat Jemaah Menteri dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.
“Kita tak membincangkan perkara itu secara khusus tapi sebarang isu berbangkit akan diurus menerusi saluran diplomatik,” katanya.
Dalam pada itu, mengulas pendirian Malaysia susulan usaha lebih 20 negara yang mahu membincangkan isu tuntutan China terhadap Laut China Selatan pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA), Fahmi memaklumkan, agenda itu juga tidak dibincang secara khusus hari ini.
Beliau bagaimanapun memaklumkan, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan akan mewakili negara pada UNGA tahun ini bersama beberapa menteri lain.
“Tapi agenda khusus (sama ada Malaysia sertai 20 negara atau perkara lain) tidak dibincang hari ini memandangkan Menteri Luar juga tidak hadir dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.
“Sehubungan itu, kita perlu tunggu sebelum UNGA dan sebelum Menteri Luar berangkat ke UNGA,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, lebih 20 negara dijangka menyertai satu persidangan di luar UNGA di New York pada 22 September ini bagi membincangkan isu tuntutan Laut China Selatan dengan China.
Duta Filipina ke Amerika Syarikat (AS), Jose Manuel Romualdez, berkata sidang itu bertujuan mencari cara ‘untuk bercakap secara rasional’ dengan China mengenai konfrontasinya dengan Filipina di Laut China Selatan