
GUA MUSANG – Kelewatan pemberian geran tanah kepada peneroka tanah rancangan termasuk Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) bukan disebabkan agensi itu sebaliknya kerajaan negeri yang melewatkan urusan pengeluaran kepada peneroka.
Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, dalam hal terbabit agensi kerajaan Persekutuan tidak boleh disalahkan sebaliknya mendakwa kerajaan Kelantan berlengah untuk menyelesaikan pengeluaran geran kepada penerima.
“Setakat ini kita tak boleh bagi geran kepada peneroka terbabit sebaliknya kerajaan negeri berlengah tak mahu selesaikan.
“Dalam hal ini tak boleh salahkan kita, kalau pilih kita jadi kerajaan negeri tahun depan kita boleh selesaikan,” katanya ketika ditemui di Kampung Jeram Tekoh, Gua Musang, hari ini.

Bagaimanapun, isu pemilikan tanah peneroka Kesedar menjadi polemik ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri.
Terdahulu, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nassuruddin Daud menegaskan isu tanah peneroka Kesedar hanya boleh diselesaikan oleh kerajaan negeri.
Manakala Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah pula menegaskan tanah Kesedar adalah milik agensi itu.
Katanya, Kesedar mempunyai hak untuk mengagihkan tanah kepada penerokanya kerana tanah-tanah berkenaan atas nama agensi itu.
Sementara itu, ditanya mengenai calon BN, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani, Tengku Razaleigh ataupun lebih dikenali sebagai Ku Li yakin anak buahnya mampu merampas kembali kerusi DUN Nenggiri.
Ku Li juga yakin Mohd Azmawi ataupun Awie mampu melaksanakan tugas dengan baik jika dipilih.
“Calon kita (BN) dari segi asuhan itu dia sudah melalui proses pembelajaran… jadi tidak ada yang baru ataupun asing bagi dia.
“Saya berani berkata dia akan jadi wakil rakyat yang baik. Berkhidmat untuk rakyat, setakat itu yang boleh saya katakan,” tegas beliau.