
KERAJAAN Negeri Johor memberi jaminan bahawa hasil pendapatan daripada pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) akan dimanfaatkan oleh seluruh rakyat negeri ini, dan bukan hanya tertumpu di kawasan sekitar zon berkenaan.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, setiap hasil yang diperoleh daripada pembangunan JS-SEZ akan disalurkan menerusi pelbagai insentif yang dirancang kerajaan negeri agar dapat dinikmati rakyat di semua daerah.
Onn Hafiz yakin perkara itu mampu direalisasikan berikutan aktiviti ekonomi dijangka semakin rancak dengan kewujudan zon berkenaan sekali gus berpotensi menjana pendapatan lumayan kepada negeri.
“Kita lihat kepimpinan Kerajaan Negeri kini memberikan tumpuan kepada aktiviti di JS-SEZ. Pada masa sama, rakyat juga dimaklumkan yang kita (kerajaan negeri) akan memperoleh hasil banyak daripadanya.
“Jadi, apabila hasil negeri dapat ditingkatkan… Kerajaan Negeri akan salurkannya untuk pembangunan yang menyeluruh,” katanya ketika berucap merasmikan Program Jelajah Orang Johor (JOJ)@Daerah Kluang di TMIYC Renggam, di sini, pada Sabtu.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan, Mohd Hairi Md Shah serta Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia, Lee Ting Han.
Dalam pada itu, beliau berkata, Kerajaan Negeri yakin dapat mencapai kutipan hasil berjumlah RM2.5 bilion menjelang akhir tahun ini.
“Peningkatan daripada RM2.1 bilion yang diraih tahun lepas bukan hanya dilihat pada nilai angka semata-mata, sebaliknya kita akan terus komited untuk menterjemahkannya dengan merangka pelbagai inisiatif baharu,” katanya.
Onn Hafiz turut menegaskan bahawa aspek ilmu dan pendidikan perlu sentiasa diberi penekanan dalam usaha membangunkan Johor agar seiring dengan kepesatan pembangunan serta kemajuan yang sedang berlaku di negeri ini.




