
KOTA KINABALU – Kerajaan Negeri disarankan untuk mengaktifkan semula Ahli Dewan Belia Sabah (ADBS) dengan penjadualan sidang tahunan tetap.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dilantik, Datuk Amisah Yassin mencadangkan agar hasil perbahasan ADBS seharusnya dibentangkan secara rasmi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah setiap tahun sebagai satu laporan khas untuk dipertimbangkan dan diambil tindakan oleh kementerian serta agensi berkaitan.
Selain itu, beliau turut mencadangkan penubuhan Sabah Youth Policy Action Hub, sebuah sekretariat tetap yang dianggotai wakil kerajaan, ADBS, persatuan belia dan ahli akademik.
Jelasnya, badan ini bertanggungjawab memantau, melaksana dan melaporkan perkembangan idea-idea yang dicadangkan oleh ADBS.
“Hab ini boleh menjadi pusat kepada pembentukan dasar-dasar belia baharu Sabah dan melatih anak muda untuk menjadi pemimpin di peringkat serantau dan antarabangsa.
“Saya juga mahu mengesyorkan kerajaan negeri menyediakan peruntukan dana khas bagi program latihan kepimpinan, pembangunan kemahiran, simulasi persidangan, penulisan dasar dan pendedahan antarabangsa kepada ahli ADBS.
“Langkah-langkah seperti ini bukan sahaja mampu melahirkan pemimpin yang petah berbicara, tetapi juga berwibawa yang berkeupayaan merancang, melaksana dan menilai dasar demi kebaikan negeri serta rakyat Sabah,” katanya semasa membahaskan Ucapan Dasar Yang di-Pertua Negeri dalam Mesyuarat Pertama Penggal Kelima, DUN Sabah Ke-16, di sini pada Isnin.
Dalam masa sama, Amisah turut membangkitkan isu pengurusan sisa pepejal di Sabah yang disifatkan semakin membimbangkan berikutan proses perbandaran dan pertambahan populasi.
Katanya, kapasiti tapak pelupusan sedia ada semakin kritikal, dengan kawasan seperti Sungai Sibuga di Sandakan menjadi contoh lokasi yang berisiko mencemarkan air tanah akibat pergerakan sisa buangan.
Beliau menekankan keperluan kerajaan negeri mencari alternatif lebih lestari dalam pengurusan sisa pepejal, termasuk penggunaan teknologi hijau.
“Setakat ini, terdapat 19 tapak pelupusan sampah di seluruh negeri yang memerlukan kos sehingga RM45 juta setahun.
“Kos ini dijangka terus meningkat mengikut pertambahan jumlah sisa.
“Saya berharap kerajaan mempertimbangkan peruntukan khas bagi melabur dalam penyelesaian jangka panjang demi kesejahteraan rakyat Sabah,” katanya.




