AKTA Pengambilan Tanah 1960 (APT) [Akta 486] bakal dipinda bagi memastikan aset kerajaan dan kepentingan awam dapat dipertahankan susulan isu pengambilan tanah Enklaf Duta, Kuala Lumpur.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, rang undang-undang untuk pindaan akta tersebut sedang disiapkan Jabatan Peguam Negara sebelum dimuktamadkan oleh Jemaah Menteri.
“Kita lihat seperti dilakukan oleh Jabatan Peguam Negara sekarang supaya undang-undang diperketatkan, kepentingan awam tidak boleh dikorbankan.
“Kalau kita berkompromi dalam hal ini, maka seluruh tanah terutama milik Melayu di bandar akan terbongkar semula,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Anwar menjawab soalan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) mengenai langkah penyelesaian kerajaan dalam menghadapi kemelut Enklaf Duta susulan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengarahkan pemulangan semula 263.272 ekar (106.54 hektar) tanah di Jalan Duta, kepada Semantan Estate Sdn Bhd (Semantan Estate). Keputusan tersebut memberikan implikasi serius kepada negara dalam pelbagai aspek.
Anwar menambah, selain memudahkan penyelesaian isu Enklaf Duta, pindaan Akta 486 juga dapat membantu menyelesaikan masalah berkaitan pada masa akan datang.
Tegasnya, kerajaan akan terus menggunakan saluran undang-undang selain berunding dengan Semantan Estate untuk mencari jalan penyelesaian terbaik kepada isu Enklaf Duta yang berbangkit sejak 1956.
“Kita masih merayu soal keputusan mahkamah untuk pindah milik, jadi saya serah kepada Jabatan Peguam Negara dalam kes rayuan ini,” katanya.
Pada 23 Oktober, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengeluarkan perintah mengisytiharkan pengambilan tanah itu oleh kerajaan pada 1956 adalah tidak sah.
Berdasarkan alasan penghakiman setebal 12 muka surat, Hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh berkata bahawa kesilapan telah berlaku dalam pengambilan tersebut, menyebabkan kerajaan telah dan masih menduduki tanah itu secara tidak sah.
Tanah tersebut, yang terletak di lokasi utama Jalan Duta, menempatkan bangunan kerajaan termasuk Stadium Hoki Nasional, Institut Integriti Malaysia, Arkib Negara, Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Akademi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
Menyentuh mengenai cadangan kerajaan terdahulu untuk memberi pampasan berjumlah RM5 bilion tetapi tidak diterima oleh Semantan Estate walaupun nilai tanah berkenaan dianggarkan RM3.1 bilion, Anwar menjelaskan keputusan untuk mengalah dengan mudah dalam kes itu tidak akan menyelesaikan masalah, sebaliknya membuka ruang kepada isu tanah yang lain untuk dibangkitkan.
Tegas Perdana Menteri, ia bukan sahaja membabitkan isu teknikal undang-undang tetapi soal prinsip pembangunan negara dan kepentingan awam.
“Kita harus tegas… sekarang ini satu inci pun (tanah Enklaf Duta) tidak dibangunkan untuk swasta atau komersial, semuanya untuk bangunan kerajaan,” katanya menjawab soalan tambahan Takiyuddin.
Anwar berkata, Ketua Setiausaha Perbendaharaan juga telah mengadakan mesyuarat dengan Semantan Estate dalam usaha mencari penyelesaian terbaik kepada isu berkenaan.
“Ini termasuk memberikan laluan kepada Semantan Estate untuk membangunkan sebahagian tanah di Enklaf Duta yang belum dibangunkan dengan syarat bekerjasama dengan mana-mana syarikat kerajaan,” katanya.





