
JOHOR BAHRU – Keputusan berhubung keperluan untuk merombak Kabinet Kerajaan Perpaduan hanya boleh diputuskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, hal itu bagaimanapun hanya akan diketahui selepas pemilihan PKR peringkat pusat yang dijadual berlangsung pada 24 Mei depan.
“Itu adalah prerogatif Perdana Menteri. Mungkin selepas pemilihan peringkat pusat, kita akan dapat melihat dengan lebih jelas hala tuju dan keperluan untuk sebarang perubahan,” katanya selepas melawat Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Taman Sri Skudai di sini, pada Isnin.
Fahmi yang juga Ketua Penerangan PKR berkata demikian sebagai mengulas spekulasi kemungkinan berlaku rombakan Kabinet susulan keputusan pemilihan peringkat cabang baru-baru ini yang menyaksikan beberapa pemimpin berjawatan dalam kerajaan tewas.
Mengulas lanjut, beliau berkata, turun naik dalam pemilihan parti adalah perkara biasa dalam landskap politik, khususnya dalam PKR.
“Kita tidak boleh mengandaikan seseorang calon itu hanya layak kerana memegang jawatan di cabang.
“Ada juga situasi di mana individu yang tidak bertanding di peringkat cabang berjaya memperoleh sokongan di peringkat pusat,” jelasnya.
Tambah beliau, pencalonan bagi pemilihan pusat akan berlangsung pada 3 dan 4 Mei, manakala proses pemilihan secara fizikal akan diadakan pada 24 Mei bersempena Kongres Nasional PKR.







