Keputusan kes 1MDB di Mahkamah Switzerland hari ini

BELLINZONA – Mahkamah Jenayah Persekutuan Switzerland hari ini dijangka membuat keputusan dalam kes dua eksekutif PetroSaudi yang dituduh menggelapkan AS$1.8 bilion (RM7.8 bilion) dari dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Dalam perbicaraan didengar tiga hakim di mahkamah di bandar Bellinzona, April lalu pendakwa raya Switzerland memohon hukuman penjara yang tinggi untuk kedua-dua lelaki terbabit.

Ketua Eksekutif PetroSaudi, Tarek Obaid, 48, dan Patrick Mahony, 47, pengarah di syarikat carigali dan pengeluaran minyak Arab Saudi, dituduh terbabit dalam penyelewengan mega yang didalangi Low Taek Jho atau Jho Low, penasihat kepada bekas perdana menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak.

Agensi berita Keystone-ATS yang melaporkan perbicaraan itu berkata, pendakwa raya Alice de Chambrier menggelar penyelewengan itu sebagai ‘penipuan abad ini’ apabila membandingkan jumlah kerugian dengan keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia.

Dia turut menggelar defendan sebagai seorang yang ‘banyak muslihat, memperalatkan orang lain dan sangat tamak’.

Dia memohon hukuman penjara 10 tahun untuk Obaid dan hukuman penjara sembilan tahun untuk pembantu kanannya, Mahony.

Pihak pembelaan pula merayu untuk dibebaskan, dengan alasan tiada penipuan berlaku.

Obaid memiliki dua kewarganegaraan iaitu Switzerland dan Arab Saudi manakala Mahony pula memiliki kewarganegaraan Switzerland dan Britain.

Penipuan skala besar dan kesalahan serius

Pihak pendakwaan meminta kedua-dua lelaki itu ditahan pada akhir perbicaraan mereka, dengan alasan wujud risiko melarikan diri sebelum keputusan, tetapi mahkamah menolak permintaan itu.

Keputusan perbicaraan dijadualkan bermula pada 2 petang waktu tempatan (8 malam waktu Malaysia ).

Dalam pendakwaan asal, ‘kedua-dua tertuduh didakwa, dengan tujuan untuk memperkayakan diri mereka sendiri dan orang lain, menyeleweng sekurang-kurangnya AS$1.8 bilion (RM7.8 bilion)’.

Wang berkenaan dipindahkan dari 1MDB dalam usaha sama dengan PetroSaudi dan kemudian disalahgunakan dua tertuduh terbabit.

“Tuduhan itu meliputi tempoh sekurang-kurangnya dari 2009 hingga 2015 dan adalah kesalahan penipuan atas dasar komersial, salah urus jenayah yang serius, dan pengubahan wang haram yang serius.

“Kedua-dua tertuduh menggunakan wang diselewengkan dari 1MDB untuk memperoleh, antara lain, aset hartanah di Switzerland dan London, barang kemas, ekuiti persendirian, untuk mengekalkan gaya hidup mewah,” kata pihak pendakwaan.

Skandal kewangan 1MDB bernilai berbilion dolar membawa kepada siasatan jenayah di seluruh dunia, termasuk di Amerika Syarikat (AS), Switzerland dan Singapura.

Berbilion-bilion dolar didakwa dirompak dari dana IMDB oleh ‘sebilangan orang’ dan digunakan untuk membeli barangan daripada karya seni hinggalah kapal layar mewah.

Semasa perbicaraan di Switzerland, pihak pendakwaan meminta aset yang diasingkan oleh Switzerland dirampas dan dikembalikan kepada 1MDB.

Chambrier berkata, Obaid dan Mahony membelanjakan dana yang diseleweng bagi membeli batu permata, jet peribadi, menyewa kapal layar dan membeli hartanah di London serta Geneva.

Keystone-ATS melaporkan, mereka didakwa ‘bertekad melakukan aktiviti jenayah yang luar biasa’ selama 10 tahun – antara 2009 dan 2019 – termasuk menyembunyikan perbuatan mereka.

Related Posts

Trump dakwa berjaya tamatkan 8 perang

PRESIDEN Amerika Syarikat, Donald Trump mendakwa beliau menamatkan lapan perang dengan menggunakan langkah perdagangan dan tarif sebagai tekanan, lapor Anadolu Ajansi. “Saya telah menamatkan lapan perang, sebahagian besarnya melalui perdagangan…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Lebih 20 maut, kelab malam terbakar

GOA – Seramai 20 pekerja dan lima pelancong maut selepas kelab malam Birch By Romeo Lane di sini musnah terbakar awal pagi semalam. Menurut pihak berkuasa, kejadian berlaku begitu pantas…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Tuan Ibrahim perlu semak fakta sebelum timbulkan isu kewangan negeri – MB Pahang

Tuan Ibrahim perlu semak fakta sebelum timbulkan isu kewangan negeri – MB Pahang

80 tangki biru diagih, bantu penduduk terjejas masalah air

  • By Fatin
  • December 8, 2025
80 tangki biru diagih, bantu penduduk terjejas masalah air

DAP Sabah hormati keputusan PRN17 Sabah, terus rangka hala tuju masa depan parti

  • By Ynom
  • December 8, 2025
DAP Sabah hormati keputusan PRN17 Sabah, terus rangka hala tuju masa depan parti

Tun M didakwa alih isu RM40b dengan dakwaan ART

Tun M didakwa alih isu RM40b dengan dakwaan ART

Task force SWCorp Perlis rekod 1,258 tan sisa banjir

Task force SWCorp Perlis rekod 1,258 tan sisa banjir

Trump dakwa berjaya tamatkan 8 perang

Trump dakwa berjaya tamatkan 8 perang