KOTA KINABALU – Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menyeru orang ramai khususnya rakyat Sabah untuk menyaksikan aksi pasukan bola sepak wanita Sabah FA dalam pusingan awal Liga Juara-Juara Wanita AFC (AWCL) di Stadium Likas, di sini pada malam ini.
Menerusi satu hantarannya di laman Facebook, Hajiji mengajak orang ramai memberi sokongan dan datang menyaksikan pasukan bola sepak wanita Sabah FA bertanding mewakili negara menerusi kejohanan antarabangsa itu.
“Malam ini merupakan perlawanan pertama Sumandak-Sumandak Sabah dalam kejohanan AFC Women’s Champions League di Stadium Likas.
“Pasukan wanita Sabah mewakili Malaysia dalam kejohanan ini selepas berjaya tergolong dalam 20 pasukan terbaik Asia.
“Ayuh kita ramai-ramai turun ke Stadium Likas dan memberi sokongan padu kepada mereka menentang APF FC dari Nepal!,” tulisnya di sini pada Rabu.
Pasukan Sabah dijadual menentang APF FC dari Nepal bermula pada pukul 8 malam ini sebelum menentang pasukan dari Uzbekistan pada 31 Ogos ini.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat pembelian tiket di laman Facebook Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) atau terus ke pautan berikut https://www.tickethotline.com.my/events/57/AFC-WOMEN%E2%80%99S-CHAMPIONS-LEAGUE-2024-25.




