
LABUAN – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Labuan menahan seorang pemilik syarikat selepas disyaki mengemukakan dokumen butir matan palsu membabitkan kerja pendawaian senggaraan bangunan sebuah agensi kerajaan di Labuan bernilai kira-kira RM300,000.
Suspek lelaki berumur 30-an berkenaan direman lima hari sehingga 15 Januari ini selepas SPRM membuat permohonan tersebut di Mahkamah Majistret Labuan dan dibenarkan Majistret Kasyfurrahman Abang Ahmad pada Jumaat.
Menurut sumber, suspek ditahan kira-kira pukul 5 petang Khamis ketika hadir bagi memberi keterangan di SPRM Labuan.
“Suspek disyaki mengemukakan tuntutan yang mengandungi butir matan palsu bagi kerja pendawaian senggaraan bangunan bernilai kira-kira RM300,000 sedangkan kerja itu tidak dilaksanakan.
“Siasatan awal turut mendapati suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut pada tahun 2022,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Labuan, Muhammat Azis Malmod yang mengesahkan penahanan tersebut memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.






