
KINABATANGAN – Kempen calon BN DUN Lamag di kawasan Bukit Garam dan sekitarnya kini hampir lengkap apabila kira-kira 85 peratus kawasan selesai dijelajah dengan hanya berbaki kira-kira 15 peratus lagi yang akan diselesaikan dalam masa terdekat.
Calon BN Lamag, Mohd Ismail Ayob (MIHA) berkata, baki kawasan tersebut dijangka akan diselesaikan sepenuhnya dalam minggu ini dengan pendekatan rumah ke rumah serta ‘walkabout’.
“Kita akan masuk ke kampung-kampung dan sebelum ini kita berada di Kampung Balat dan kampung Sangau lalu kita memberi penjelasan mengenai mesej, hala tuju kita dan kerajaan.
“Kempen masih diteruskan di mana kita buat ceramah seminggu sekali bagi mendekati rakyat secara lebih dekat,” katanya kepada media, di Kinabatangan.
Mengenai penerimaaan rakyat Lamag, MIHA tidak menafikan sokongan masyarakat setempat dilihat amat menggalakkan.
“Alhamdulillah kalau kita lihat daripada respon positif daripada masyarakat agak memberangsangkan sebab itu saya berani menyatakan bahawa saya cukup yakin dan saya percaya bahawa Lamag dan Kinabatangan ini masih Barisan Nasional.
“Kita nampak respon yang positif dan mereka (pengundi) pun sudah nampak apa yang kita perjuangkan dan perjuangan ini bukan baharu,” ujarnya.






